Dalam keghairahan kita mengejar arus teknologi, muncul satu ancaman siber yang kian membarah iaitu judi dalam talian. Jika dahulu aktiviti haram ini tersembunyi di premis gelap, kini ia berada di dalam poket dan sedia diakses 24 jam sehari. Namun, impaknya bukan sekadar kehilangan wang ringgit, malah ia bertindak seperti rayap yang meruntuhkan tiang seri institusi masyarakat kita secara senyap. Bak kata pepatah, retak menanti belah begitulah rapuhnya komuniti kita hari ini jika isu ini terus dipandang enteng.
Realitinya, keluarga sering menjadi mangsa pertama apabila terdapat ahli yang terjebak. Di Malaysia, isu kewangan akibat judi dikesan menjadi antara punca utama kepada 60% kes perceraian pasangan muda. Ketagihan ini mengheret seluruh ahli keluarga ke kancah penderitaan, termasuk kes tragis di Pontian pada tahun 2024 yang melibatkan kanak-kanak seawal 12 tahun terjebak hutang Ah Long akibat perbuatan bapanya. Jelaslah bahawa kerana nila setitik, rosak susu sebelanga, di mana kesilapan seorang individu akhirnya menghancurkan masa depan seluruh warisnya.
Dari sudut ekonomi dan sosial pula, judi dalam talian mengakibatkan kebocoran kewangan negara yang amat serius. Sebagai bukti, pada Mei 2024, PDRM telah membekukan 150 akaun keldai bernilai RM32 juta milik sindiket besar. Malah, kajian menunjukkan kadar problem gambling di Malaysia adalah sekitar 1.4% hingga 2.5% lebih tinggi berbanding negara Asia lain. Di tempat kerja, produktiviti merosot drastik manakala kes jenayah kolar putih dan pecah amanah pula meningkat demi melangsaikan hutang, bak peribahasa menang sorak, kampung tergadai.
Apa yang lebih menakutkan, sindiket kini menggunakan teknologi AI untuk manipulasi iklan bagi menyasarkan golongan belia. Kesannya, pusat rehabilitasi kini menerima pesakit seawal usia 15 tahun yang sudah mengalami kerosakan mental kronik. Mereka terperangkap dalam delusi “duit mudah” yang akhirnya menghakis nilai integriti dan kerja keras. Sebelum nasi menjadi bubur, kesedaran kolektif amat diperlukan. Jangan biarkan peranti di tangan menjadi punca keruntuhan masa depan.
Sumber: ‘Perlu ada larangan penuh judi dalam talian untuk lindungi rakyat Malaysia’ – MCCA – Berita Harian
Disediakan oleh: Effi Ayu Qarmilia Catra Binti Jamaludin



