SBCP: Pelabuhan Kontena Teluk Sapangar. (Gambar kecil: Ewon)
KOTA KINABALU: Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Datuk Ewon Benedick menyambut baik pelaksanaan lapan pelan tindakan sementara serta dua inisiatif baharu Kerajaan Sabah bagi menangani kesesakan di Pelabuhan Kontena Teluk Sapangar (SBCP).
Beliau berkata, langkah proaktif yang dilaksanakan kerajaan negeri bersama agensi berkaitan diyakini mampu membantu melancarkan rantaian logistik dan mengurangkan tekanan kepada sektor perniagaan di Sabah.
“Kita menyambut baik langkah proaktif Kerajaan Negeri Sabah bersama semua agensi berkaitan dalam menangani isu kesesakan di SBCP secara menyeluruh dan berfasa.
“Pelaksanaan pelan tindakan interim termasuk operasi 24 jam, Vehicle Booking System (VBS), penambahan kawasan simpanan kontena dan pemindahan sementara operasi RORO diyakini mampu membantu melancarkan rantaian logistik serta mengurangkan tekanan kepada sektor perniagaan di Sabah,” katanya dalam kenyataan.
Ewon berkata, kecekapan operasi pelabuhan amat penting kerana ia memberi kesan langsung kepada kos logistik, tempoh penghantaran dan daya saing perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negeri ini.
Menurutnya, usaha meningkatkan kapasiti pengendalian kontena serta memperkukuh sistem operasi pelabuhan penting bagi menyokong pertumbuhan ekonomi Sabah.
“Antara langkah interim yang sedang diusahakan termasuk penyediaan kawasan tambahan seluas 14 ekar bagi meningkatkan kapasiti penyimpanan kontena dan mengurangkan kesesakan di kawasan SBCP.
“Pelaksanaan kadar tarif baharu dan pengurangan tempoh simpanan percuma kontena semasa musim puncak daripada lima hari kepada tiga hari juga menunjukkan impak positif terhadap pengurangan kesesakan di kawasan simpanan kontena.
“Pelaksanaan ini akan dinilai semula selepas tempoh tiga bulan bagi memastikan keberkesanannya kepada semua pihak berkepentingan,” katanya.
Beliau berkata, Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah (LPPS) bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sedang menyelaras prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pelupusan dan pelelongan kontena lebih tempoh.
Katanya, langkah itu membabitkan kontena yang berada di pelabuhan melebihi 21 hari serta barangan mudah rosak lebih 24 jam dan sudah menunjukkan pengurangan jumlah kontena lebih tempoh di kawasan pelabuhan.
“Semua agensi kerajaan berkaitan turut bersetuju dan menyokong pelaksanaan operasi 24 jam pada mana-mana hari termasuk cuti am tertakluk kepada pemakluman awal dan permohonan selaras dengan tatacara dalam Pekeliling Pelabuhan LPPS Bil. 02/2026 bertarikh 28 April 2026.
“Bagi penyelesaian jangka panjang, LPPS turut mengemukakan permohonan rasmi kepada JKDM supaya pemeriksaan dan pelepasan kargo di SBCP dapat dilaksanakan sepenuhnya secara 24 jam setiap hari,” katanya.
Katanya, pelaksanaan Vehicle Booking System (VBS) diwajibkan kepada semua pengendali lori bermula 1 April lalu bagi mengawal kemasukan lori secara berjadual dan mengurangkan kesesakan di pintu masuk pelabuhan.
“Sistem ini dilaksanakan tanpa sebarang caj dan dijangka memberi impak signifikan apabila digunakan sepenuhnya oleh semua pengendali lori,” katanya.
Menurutnya, operator pelabuhan DPW Sabah juga sedang mengambil langkah proaktif menaik taraf peralatan pengendalian kontena melalui penyewaan dua Reach Stackers yang kini sudah beroperasi.
“Lima Internal Transfer Vehicles (ITVs) dijangka tiba pada Jun ini diikuti tambahan tujuh lagi ITVs pada suku keempat tahun ini.
“Tambahan 10 Rubber Tyred Gantry Crane (RTG) juga akan diperoleh dengan empat RTG dijangka tiba apabila lapangan empat ekar projek pembesaran SBCP tersedia pada hujung tahun ini manakala enam lagi RTG selepas keseluruhan projek pembesaran SBCP siap sepenuhnya pada suku keempat 2027.
“Pihak KKIP sedang menyiapkan tapak parkir trailer bagi membantu melancarkan pergerakan trailer dan kontena terutama pada waktu luar puncak,” katanya.
Menurutnya, kemudahan itu membolehkan lori meletakkan kenderaan semalaman sekali gus membantu mengurangkan kesesakan di kawasan pelabuhan.
Dalam perkembangan sama katanya, beliau berkata Mesyuarat Jemaah Menteri pada 13 Mei lalu turut meluluskan dua inisiatif baharu iaitu pemindahan sementara operasi RORO dari SBCP ke Pelabuhan Kota Kinabalu berkuat kuasa Jumaat serta pelaksanaan Berthing Window Programme bermula 22 Mei depan.
Katanya, pemindahan operasi RORO dijangka meningkatkan kapasiti pemunggahan kontena di dermaga sebanyak 20 peratus.
“Pelaksanaan Berthing Window Programme oleh DPW Sabah adalah kaedah penjadualan kapal untuk berlabuh berdasarkan slot masa yang ditetapkan lebih awal dan ini akan mengurangkan kesesakan kapal di perairan,” katanya.
Beliau berkata, satu Task Force juga ditubuhkan dan dipengerusikannya sendiri bagi memastikan semua pelan tindakan dipantau secara menyeluruh dan berkesan.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



