RAMPAS: Rampasan kayu bergergaji di perairan Kunak.
LAHAD DATU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Lahad Datu menahan dua warga Filipina yang disyaki membawa 35 batang kayu bergergaji di perairan Kunak, awal pagi tadi.
Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, penahanan dibuat hasil maklumat risikan kira-kira jam 5 pagi di kedudukan 0.3 batu nautika barat daya Jeti Pangkalan Kunak menerusi Op Sejahtera 1/2022 dan Op Tiris 4.0.
Menurutnya, sebuah vesel berwarna merah dikesan dalam keadaan mencurigakan apabila beberapa batang kayu terapung diikat bersama vesel berkenaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati vesel itu dikendalikan dua lelaki warga Filipina berusia 51 dan 33 tahun yang gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri sah.
“Pemeriksaan lanjut turut menemukan 35 batang kayu bergergaji yang dipercayai dicuri dari kawasan Pulau Timbun Mata,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua suspek kemudian dibawa ke jeti Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
Katanya, ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.
“Semua rampasan termasuk vesel dan kayu bergergaji dianggarkan bernilai puluhan ribu ringgit,” katanya.
Kes disiasat mengikut Akta Perhutanan Negara 1984/Enakmen Hutan Sabah 1968 kerana memiliki kayu bergergaji tanpa kebenaran sah, Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Dadah Berbahaya 1952.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



