KETUA SINDIKET DADAH TUMPAS, RAMPASAN SYABU RM18 JUTA

SIDANG MEDIA: Hussein (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas dalam operasi khas JSJN selepas sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau, hari ini.

TAWAU: Taktik sindiket dadah yang menggunakan kenderaan terpakai untuk menyembunyikan dadah sebelum diedarkan ke Sabah akhirnya terbongkar apabila Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) menumpaskan kegiatan itu dalam dua operasi berasingan di Sabah dan Sarawak.

Operasi dikenali sebagai Op Hymenoptera dan susulan Op Coleoptera itu membawa kepada rampasan pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai lebih RM18.79 juta selain penahanan empat lelaki tempatan termasuk ketua sindiket.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, di Sabah, dua lelaki tempatan ditahan dalam serbuan berasingan pada 21 April dan 1 Mei lalu hasil kerjasama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) serta Eastern Sabah Security Command (ESSCOM).

Katanya, dalam serbuan pertama di Batu 15, Jalan Apas, polis menahan dua suspek bersama sebuah Toyota Harrier sebelum menemukan 128 paket plastik lutsinar disyaki syabu seberat 130.60 kilogram.

“Serbuan kedua kemudian dilakukan ke atas dua kenderaan iaitu Nissan Sylphy dan Toyota Camry di Bandar Sri Indah, Batu 10, Jalan Apas.

“Hasil pemeriksaan menemukan 85 bungkusan syabu seberat 90.41 kilogram dan 488 bungkusan cecair disyaki fentanyl seberat 0.98 liter dalam Nissan Sylphy,” katanya pada sidang media di IPD Tawau, hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut ke atas Toyota Camry turut menemukan 99 bungkusan syabu seberat 102.90 kilogram.

Katanya, jumlah keseluruhan rampasan di Sabah membabitkan 323.91 kilogram methamphetamine dan 0.98 liter fentanyl dengan nilai dianggarkan RM16.34 juta.

“Dadah ini boleh memudaratkan kira-kira 1.58 juta pengguna,” katanya.

Menurutnya, sindiket dipercayai aktif sejak Januari lalu dengan modus operandi menggunakan kenderaan terpakai serta ruang tersembunyi bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Hasil siasatan mendapati seorang suspek berperanan sebagai transporter manakala seorang lagi ahli sindiket.

“Suspek pertama mempunyai enam rekod jenayah lampau termasuk dadah, manakala seorang lagi dua rekod jenayah,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek sudah didakwa di mahkamah semalam.

Dalam operasi sama, pihaknya turut menyita aset bernilai RM34,000 termasuk sebuah Volkswagen Passat, motosikal Yamaha Y16ZR dan wang tunai RM8,000.

RAMPASAN: Dadah jenis syabu yang dirampas dalam operasi khas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) untuk tindakan dan siasatan lanjut pihak berkuasa.

Sementara itu, susulan Op Coleoptera di Sarawak pada 2 Mei lalu, beliau berkata JSJN menahan dua lelaki tempatan dalam dua serbuan di Miri.

Katanya, pemeriksaan di dua rumah berjaya merampas wang tunai RM820,000 selain menyita beberapa kenderaan mewah termasuk Mercedes G-Wagon Brabus, dua Ford Mustang dan Toyota Harrier.

“Suspek pertama dipercayai berperanan sebagai ketua sindiket manakala suspek kedua sebagai rakan kongsi atau transporter.

“Sindiket ini dipercayai aktif sejak Jun tahun lalu dengan modus operandi menyeludup bekalan dadah menggunakan pelbagai kaedah termasuk penghantaran kontena melalui laluan laut sebelum diedarkan ke Sabah, Sarawak dan pasaran antarabangsa,” katanya.

Menurutnya, jumlah keseluruhan sitaan bagi kes di Sarawak dianggarkan bernilai RM2.42 juta.

“Kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

 

#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

Artikel/Berita Terkini

KELAS BAHASA ISYARAT

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2026-2030  Majlis Bandaraya Pulau Pinang menerusi Jabatan Pengurusan Korporat dan Komuniti telah berjaya menganjurkan Program Komuniti …

KUNJUNGAN HORMAT

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2026-2030 YBhg. Dato’ Ir. Rajendran P. Anthony, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), telah menerima …

JADILAH WIRA PENYELAMAT NYAWA

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2026-2030 Setiap titisan darah yang anda dermakan mampu memberi harapan baharu kepada pesakit yang memerlukan rawatan …