PENGHARGAAN: Mohd Azhar menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang penerima.
KOTA KINABALU: Warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah diseru memperkukuh tahap celik kewangan serta menjaga kesejahteraan mental melalui penganjuran Karnival Pengurusan Kewangan, Harta Pusaka, Kebajikan dan Pengurusan Psikologi Peringkat Kontinjen Sabah 2026.
Karnival berkenaan menghimpunkan pelbagai agensi strategik melibatkan sektor perbankan, korporat dan institusi pendidikan bagi memberi pendedahan menyeluruh kepada anggota serta pegawai PDRM Sabah.
Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Sabah Datuk Mohd Azhar Hamin berkata, kepimpinan kontinjen menegaskan kepentingan pengurusan kewangan yang bijak dalam kalangan warga pasukan bagi memastikan kestabilan hidup jangka panjang.
Katanya, pemahaman terhadap instrumen kewangan seperti hibah dan wasiat perlu dipertingkat bagi mengelakkan bebanan kepada waris pada masa depan.
“Kegagalan merancang kewangan secara sistematik boleh memberi kesan besar bukan sahaja kepada individu, malah kepada keluarga yang ditinggalkan.
“Sehubungan itu, karnival ini menjadi platform penting untuk memberi pendidikan kewangan secara langsung kepada warga PDRM Sabah,” katanya semasa berucap pada majlis penutupan program terbabit.
Selain aspek kewangan katanya, perhatian turut diberikan kepada pengurusan harta pusaka yang sering menjadi isu dalam kalangan masyarakat akibat kurang pengetahuan.
“Program juga menampilkan sesi perkongsian daripada institusi kewangan seperti Ambank (M) Berhad, Tabung Haji, Affin Bank, PRU BSN dan Qaizer Consultancy.
“Agensi berkenaan berkongsi pelbagai teknik pengurusan kewangan termasuk kaedah menabung serta perancangan kewangan berstruktur.
“Dalam masa sama, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Kota Kinabalu turut memberi penerangan berkaitan pengurusan hasil dan tanggungjawab percukaian,” katanya.
Beliau berkata, kehadiran pelbagai institusi pendidikan turut memberi nilai tambah kepada karnival berkenaan.
“Antara yang terlibat termasuk UUM Leads, City University Malaysia, Kolej Universiti Saito, Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan North Borneo University.
“Institusi ini menawarkan peluang pengajian separuh masa serta konsep bekerja sambil belajar kepada anggota yang ingin meningkatkan kelayakan akademik.
“Langkah ini dilihat sebagai pelaburan masa depan bagi memperkukuh laluan kerjaya warga PDRM,” katanya.
Selain itu katanya, penyertaan syarikat telekomunikasi dan penyedia bahan pendidikan seperti Celcom, Unifi dan Grolier Book turut memeriahkan karnival.
“Penglibatan PERKEP serta unit kebajikan PDRM Sabah pula memberi fokus kepada aspek kebajikan anggota dan keluarga.
“Dalam pada itu, kepimpinan turut menekankan kepentingan kesihatan mental dalam kalangan warga pasukan,” katanya.
Katanya, cabaran tugas di Sabah memerlukan ketahanan mental yang tinggi bagi memastikan keberkesanan operasi.
“Sehubungan itu, stigma terhadap khidmat kaunseling perlu dihapuskan dan anggota digalakkan mendapatkan sokongan psikologi apabila diperlukan.
“Kesejahteraan mental menjadi tunjang kepada kecemerlangan tugas serta prestasi organisasi.
“Karnival ini juga bertepatan dengan sambutan Hari Polis ke-219 yang mencerminkan komitmen berterusan dalam menjaga kebajikan warga pasukan,” katanya.
Tambahnya, program ini disifatkan sebagai manifestasi keprihatinan pucuk pimpinan dalam memastikan kesejahteraan menyeluruh anggota PDRM Sabah.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



