KASTAM LABUAN GAGALKAN CUBAAN SELUDUP MINUMAN KERAS BERNILAI LEBIH RM134,000

RAMPAS: Rampasan pelbagai jenis minuman keras dalam satu operasi di Terminal Feri Kenderaan, pada 27 April lalu.

LABUAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Labuan berjaya menggagalkan cubaan menyeludup minuman keras pelbagai jenama dengan nilai keseluruhan rampasan termasuk duti dan cukai dianggarkan RM134,156.48 dalam satu operasi di Terminal Feri Kenderaan, pada 27 April lalu.

Pengarah Kastam Wilayah Persekutuan Labuan, Aspalila Ag Tuah, berkata operasi dijalankan kira-kira jam 12.01 tengah hari oleh Pasukan Operasi Cawangan Penguatkuasaan bersama Pasukan Cawangan Pemeriksaan Penumpang terminal berkenaan.

Menurutnya, pemeriksaan dilakukan terhadap sebuah kenderaan pacuan empat roda yang sedang menunggu giliran untuk belayar ke Menumbok, Sabah menggunakan feri RORO.

“Hasil pemeriksaan menemukan sebanyak 72.5 liter minuman keras pelbagai jenama disorokkan di bahagian bawah bonet belakang kenderaan yang diubah suai.

“Minuman keras berkenaan disyaki cuba dibawa keluar dari Labuan ke Kawasan Utama Kastam (KUK) tanpa pengikraran,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kenderaan terbabit bersama semua barang kes dirampas sebelum diserahkan kepada Unit Siasatan, Cawangan Penguatkuasaan JKDM Labuan untuk tindakan lanjut.

Katanya, nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM128,090 manakala anggaran duti dan cukai sebanyak RM6,066.48.

SOROK: Minuman keras yang disorokkan di dalam kenderaan pacuan empat roda.

“Jumlah keseluruhan nilai rampasan termasuk duti dan cukai dianggarkan sebanyak RM134,156.48,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata modus operandi melibatkan tindakan menyembunyikan minuman keras di ruang bawah bonet kenderaan yang diubah suai bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Dalam kes sama, katanya, dua orang yang disyaki (OYDS) ditahan untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000, yang mana lebih tinggi, dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000, yang mana lebih tinggi.

“Selain itu, kesalahan sama turut memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Sehubungan itu, orang ramai digesa membantu JKDM dalam memerangi jenayah penyeludupan termasuk rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta tidak membabitkan diri dalam aktiviti berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, penyeludupan bukan sahaja menyebabkan ketirisan hasil negara malah turut memberi ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

Orang ramai juga diseru menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan melalui talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam terdekat di semua negeri.

Katanya, JKDM memberi jaminan identiti pemberi maklumat dirahsiakan.

 

#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

Artikel/Berita Terkini

PERLUASAN KUGGP DICADANG MELIPUTI TUARAN

TINJAU: Jafry Membuat Tinjauan Semasa Di Majlis Itu.  TUARAN: Kerajaan negeri sedang meneliti cadangan untuk memperluaskan Kinabalu UNESCO Global Geopark …

12 DITAHAN, SINDIKET TIPU BOMOH CINA RUGIKAN MANGSA RM600,000

MOHD AZHAR  KOTA KINABALU: Sindiket ‘bomoh Cina’ yang menawarkan khidmat rawatan tradisional dan upacara keagamaan bagi menghindarkan perkara yang dipercayai …

SIRI TRIVIA HARI KEBANGSAAN 2026 | PANDUAN PENGGUNAAN DAN PENGGANTUNGAN JALUR GEMILANG

Mengibarkan Jalur Gemilang bukan sekadar mencipta suasana sambutan, tetapi merupakan tanda hormat, cinta dan setia kepada tanah air. Ramai yang …