Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah pentadbiran kerajaan negeri wajar diteruskan dan berfungsi seperti biasa bagi memastikan kelangsungan tadbir urus negeri berjalan dengan teratur serta memelihara kepentingan rakyat.
Tegas baginda, walaupun dengan ketidakhadiran pembesar negeri yang lazimnya mengiringi baginda pada setiap perasmian persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), keadaan itu tidak menjejaskan keabsahan mahupun kelancaran persidangan berkenaan.
Turut berangkat, Tunku Ampuan Besar, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud. Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin, bagaimanapun tidak hadir ke istiadat berkenaan.
Tuanku Muhriz bertitah, Negeri Sembilan mencatat sejarah tersendiri sebagai negeri pertama berjaya mencapai status sifar miskin tegar secara konsisten bagi 2023, 2024, 2025 sehingga tahun ini.
Melalui pelbagai intervensi bersasar dan pemantauan rapi, pencapaian itu mula direkodkan sejak penghujung 2023 apabila 3,530 ketua isi rumah (KIR) berjaya dikeluarkan daripada kategori miskin tegar dengan kejayaan itu bukan bersifat sementara, sebaliknya berterusan.
Pada 2024, seramai 1,697 KIR turut dikeluarkan daripada kategori terbabit, meningkat kepada 2,275 KIR tahun lalu dan sehingga 30 Januari tahun ini dengan 1,106 KIR, sekali gus memastikan Negeri Sembilan mengekalkan status sifar miskin tegar bagi empat tahun berturut-turut.
Tuanku Muhriz turut menegaskan usaha membasmi kemiskinan tegar tidak boleh dilihat sebagai satu pencapaian angka semata-mata, sebaliknya manifestasi keprihatinan kerajaan terhadap maruah dan kesejahteraan rakyat.
Pencapaian sektor pendidikan
Tuanku Muhriz turut menzahirkan kebanggaan dengan pencapaian sektor pendidikan di negeri ini secara keseluruhan kerana sentiasa menerima penghargaan dan pengiktirafan melibatkan tahap pengajian di peringkat rendah, menengah dan pengajian tinggi.
Baginda berbesar hati dengan pencapaian Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) pada tahun lalu yang mencatatkan peningkatan Gred Purata Negeri (GPN) kepada 2.33 mata. Kecemerlangan ini dizahirkan apabila Sekolah Menengah Agama Dato’ Haji Mustafa, Jempol serta Maahad Ahmadi mengekalkan GPN cemerlang 1.81 mata.
Baginda turut menzahirkan tahniah atas pencapaian Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Ampuan Najihah atau Noghori Arts School yang mengharumkan nama negeri dengan penyertaan sepanjang Minggu Negeri Sembilan di Pavilion Malaysia, Ekspo 2025 Osaka, Jepun pada Oktober lalu.
Mengenai pelancongan, Tuanku Muhriz bertitah, tahun ini mencatatkan detik amat bermakna apabila diisytiharkan sebagai Tahun Melawat Negeri Sembilan (TMNS), sekali gus mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkasa sektor itu sebagai teras ekonomi mampan dan lestari berfokuskan pelancongan pantai, ekopelancongan dan Adat Perpatih.
Setelah 27 tahun tidak dilaksanakan TMNS dan mengambil kira peningkatan kehadiran pelancong yang amat memberangsangkan sepanjang tiga tahun kebelakangan ini, beta menyeru agar inisiatif ini tidak terhenti setakat ini sahaja sebaliknya diteruskan secara konsisten dan berkesinambungan pada tahun seterusnya.
Sementara itu, sebagai Ketua Agama Negeri, Tuanku Muhriz mahu perhatian serius diberikan terhadap usaha meningkatkan ekonomi dan ilmu pengetahuan umat Islam termasuk menjadikan masjid dan surau tempat menyebarkan lagi syiar Islam.

Sumber: Berita Harian



