Pada 22 April dalam tahun 1969, Menteri Pengangkutan, Tan Sri Hj. Sardon bin Jubir, membuka dengan rasminya Pengkalan Marin dan 12 unit rumah untuk kakitangan Jabatan Laut di Pelabuhan Swettenham. Beliau turut mengumumkan pembinaan 3 buah dermaga air dalam yang akan dibina di Selat Klang Utara sepanjang 900 meter berharga $40 juta ringgit. Dermaga-dermaga ini mampu memberi kemudahan untuk kerja-kerja pembaikan kapal dan juga mendapatkan bekalan air. Pihak berkuasa pelabuhan akan membina sebuah benteng di sepanjang pantai, penambat pelampong, sebuah bengkel dan juga keperluan dalam bidang perkapalan. Sebaik sahaja jeti ini siap, rumah api dan pelampong “Aktiza” dipindahkan dari Pulau Pinang ke Pelabuhan Swettenham bertujuan meringankan beban yang ditanggung oleh Pelabuhan Pulau Pinang dalam menyediakan bantuan-bantuan pelayaran. Dengan adanya Pengkalan Marin dan rumah kakitangan Jabatan Laut ini, pengendalian tugas di Pelabuhan Swettenham dapat dijalankan dengan lebih baik dan teratur.
Sumber : Arkib Negara Malaysia



