UNDANG-UNDANG TUBUH NEGERI SEMBILAN: TUANKU ATAU UNDANG YANG EMPAT LEBIH BERKUASA?

Nama Negeri Sembilan tiba-tiba menjadi hangat berikutan tindakan Undang Yang Empat mengisytiharkan pemecatan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-11, berkuat kuasa serta-merta. Pengisytiharan berkenaan dibuat dalam satu sidang media khas di Balai Undang Luak Sungei Ujong di sini kira-kira jam 6.15 petang pada Ahad.

Empat Undang terbabit ialah Datuk Klana Petra Datuk Mubarak Dohak (Sungai Ujong), Datuk Mendika Menteri Akhirulzaman Datuk Maarof Mat Rashad (Jelebu), Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Datuk Muhammad Abdullah (Johol) dan Datuk Sedia Raja Abdul Rahim Yasin (Rembau). Pengisytiharan terbabit turut disaksikan oleh Datuk Syahbandar Sungei Ujong, Datuk Baharudin Abdul Khalid

Turut diumumkan pemilihan dan pelantikan Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan, Tunku Datuk Seri Nadzaruddin Ibni Almarhum Tuanku Jaafar, sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang baharu.

Dalam sidang media tersebut dinyatakan penyiasatan lengkap dan menyeluruh berhubung dengan perkara yang merupakan perbuatan salah laku oleh Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan selepas menaiki takhta yang secara langsung telah mengakibatkan institusi Raja Negeri Sembilan tercemar. Bagaimanapun tidak dijelaskan tentang salah laku yang didakwa tetapi dinyatakan tindakan tersebut dibuat mengikut Perkara 10(1)(b) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Sebelum itu kesemua Undang berkenaan dilihat tiba di Balai Undang Sungei Ujong sekitar jam 2.30 petang untuk mengadakan mesyuarat mengenai isu tersebut dan hanya selesai selepas tiga jam.

Perkembangan mengejutkan berkenaan menimbulkan pelbagai persoalan sama ada pengisytiharan tersebut sah atau tidak, termasuk sama ada tindakan berkenaan benar-benar mengikut lunas undang-undang dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan(UUTKNS) 1959. Jika pengisytiharan itu sah, ia sekali gus menamatkan pemerintahan Tuanku Muhriz yang bermula secara rasmi pada 29 Disember 2008.

Namun Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dalam kenyataannya bertarikh 20 April menegaskan tindakan Mubarak menandatangani serta membacakan pengisytiharan menurunkan Tuanku Muhriz tidak boleh diterima atau diiktiraf. Ini kerana jelas baliau, Mubarak tidak lagi mempunyai kuasa dan fungsi sebagai Undang Luak Sungei Ujong selain tidak selaras dengan Perkara 10 hingga 12 UUTKNS.

Kenyataan tersebut turut disokong oleh Telaga Undang, Sarifah Norzaidah Al-Qadri yang berkata, tindakan Mubarak bukan saja tidak sah, malah disifatkan sebagai satu penderhakaan terhadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan sewajarnya dikenakan tindakan Undang-Undang.

Episod berkaitan institusi Beraja di Negeri Sembilan ini mula timbul apabila Waris Luak Sungei Ujong mengeluarkan kenyataan bertarikh 18 Mac dmemaklumkan Mubarak dilucutkan jawatan sebagai penyandang pesaka Datuk Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong ke-10 selepas didakwa melanggar hukum syarak dan adat. Kenyataan itu dikeluarkan oleh Tua Lembaga Waris di-Darat, Datuk Andulika Mandalika Zainol Ariffin Ibrahim selepas mendapat keizinan dan persetujuan Ibu Soko Klana Hulu dan Anak.

Bagaimanapun dalam kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Datuk-Datuk Lembaga Adat Sungei Ujong pada 18 April pula menjelaskan pendirian mereka yang sebulat suara ikrar taat setia kepada Mubarak. Jelasnya, kenyataan dikeluarkan oleh Zainol Ariffin pada 18 Mac itu juga adalah tidak sah dari sudut adat kerana beliau telah pun dipecat pada 28 November 2024.

Dalam kenyataan berkenaan turut dijelaskan bahawa pemilihan Datuk Undang atau pemberhentian Datuk Undang perlu mengikut adat luaknya saja yang mana ia selaras dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, Fasal 14 (1 dan 3). Justeru, pihak luar yang tiada sebarang kepentingan diminta untuk tidak mencampuri urusan adat di Sungei Ujong.

Pada masa sama pihak mereka turut mempersoalkan kenyataan media dikeluarkan oleh Menteri Besar bertarikh 17 April lalu yang disifatkan salah dan bercanggah dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 dan adat Sungei Ujong. Mereka juga menasihatkan semua pihak supaya merujuk terus kepada Balai Undang Sungei Ujong atau Datuk-Datuk Lembaga Adat yang sah berkenaan dengan Undang Luak Sungei Ujong.

Bagaimanapun, setakat ini belum ada kenyataan rasmi daripada pihak Istana Besar Seri Menanti mahupun Tuanku Muhriz sendiri berhubung pengisytiharan berkenaan.

Sumber: Sinar Harian

Artikel/Berita Terkini

KELAS BAHASA ISYARAT

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2026-2030  Majlis Bandaraya Pulau Pinang menerusi Jabatan Pengurusan Korporat dan Komuniti telah berjaya menganjurkan Program Komuniti …

KUNJUNGAN HORMAT

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2026-2030 YBhg. Dato’ Ir. Rajendran P. Anthony, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), telah menerima …

JADILAH WIRA PENYELAMAT NYAWA

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2026-2030 Setiap titisan darah yang anda dermakan mampu memberi harapan baharu kepada pesakit yang memerlukan rawatan …