PENGISYTIHARAN TURUNKAN TUANKU MUHRIZ TIDAK DIIKTIRAF – MB

Tindakan Datuk Mubarak Dohak yang menandatangani serta membacakan pengisytiharan menurunkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Balai Undang Luak Sungei Ujong pada Ahad tidak boleh diterima atau diiktiraf.

Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dalam kenyataan memaklumkan, ini kerana Mubarak tidak lagi mempunyai kuasa dan fungsi sebagai Undang Luak Sungei Ujong, selain tidak selaras dengan Perkara 10 hingga 12 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.

Pemberhentian Mubarak sebagai penyandang pesaka Dato’ Klana Petra Luak Sungei Ujong telah dibuat mengikut pesaka dan adat Telaga Undang, Waris Klana Hulu, Sungei Ujong sejak 13 Mei 2025.

Sidang Khas Dewan Keadilan dan Undang (DKU) pada 17 April lepas telah bersetuju menasihat dan menerima kesepakatan Telaga Undang, Waris Klana Hulu, Luak Sungei Ujong yang memberhentikan Mubarak sebagai penyandang pesaka Datuk Klana Petra Luak Sungei Ujong ke-10, selaras dengan peruntukan Fasal 14(3) UUTKNS.

Ia selaras dengan peruntukan Fasal 14(3) UUTKNS atas 33 kesalahan berkaitan pesaka dan adat Telaga Undang, Waris Klana Hulu, Luak Sungei Ujong. Selain itu, fungsi DKU Negeri Sembilan ialah berperanan sebagai badan penasihat atas perkara berkaitan adat istiadat orang Melayu termasuk soal pemilihan dan perlucutan jawatan Undang Luak yang empat seperti diperuntukkan dalam Perkara 16 UUTKNS. Ini termasuk dalam urusan pemberhentian seseorang Undang Luak daripada memegang pesaka mengikut adat luaknya mengikut Fasal 14(3) UUTKNS.

Nasihat penerimaan oleh DKU terhadap pemberhentian penyandang pesaka Datuk Undang Luak di Negeri Sembilan juga pernah dilaksanakan sebelum ini apabila penyandang pesaka Undang Luak Johol ke-14 Datuk Mohammad Jan Abdul Ghani diberhentikan pada 27 Mac 2016 atas 13 kesalahan berkaitan pesaka dan adat Luak Johol.

Jumaat lalu Aminuddin mengeluarkan kenyataan memberitahu bahawa, DKU menasihatkan Luak Sungei Ujong agar menerima pemberhentian Datuk Mubarak sebagai penyandang pesaka Dato’ Klana Petra luak berkenaan. Ujarnya, pemberhentian itu dibuat mengikut adat Luak Sungei Ujong selaras dengan Fasal 14(3) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Susulan itu, Yang Mulia Telaga Undang, Sarifah Norzaidah Al-Qadri dalam kenyataannya pula menyatakan bahawa semua keputusan oleh Mubarak yang dibuat mulai 13 Mei tahun lalu dianggap tidak sah susulan pesaka Datuk Klana Petra yang disandang beliau sudah dilucutkan berkuat kuasa pada tarikh berkenaan.

Ibu Soko-Ibu Soko Klana Hulu dan Anak-anak Waris Klana Hulu menjunjung kasih terhadap nasihat yang diberikan oleh anggota-anggota Dewan yang bersidang. Nasihat Dewan tersebut mengikut Fasal 16 UUTKNS 1959 dan ia selaras dengan adat Sungei Ujong berkenaan hal pemberhentian Undang Luak yang terangkum dalam Fasal 14 (3) UUTKNS 1959.

Kenyataan tersebut turut memaklumkan bahawa pemberhentian terbabit dibuat berpandukan bukti terhadap kesalahan yang dilakukan tanpa sebarang unsur fitnah serta tanpa campur tangan mana-mana pihak luar. Bagaimanapun dalam kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Datuk-Datuk Lembaga Adat Sungei Ujong pada Sabtu pula menjelaskan pendirian mereka sebulat suara ikrar taat setia kepada Mubarak.

Sumber: Sinar Harian

Artikel/Berita Terkini

KELAS BAHASA ISYARAT

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2026-2030  Majlis Bandaraya Pulau Pinang menerusi Jabatan Pengurusan Korporat dan Komuniti telah berjaya menganjurkan Program Komuniti …

KUNJUNGAN HORMAT

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2026-2030 YBhg. Dato’ Ir. Rajendran P. Anthony, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), telah menerima …

JADILAH WIRA PENYELAMAT NYAWA

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2026-2030 Setiap titisan darah yang anda dermakan mampu memberi harapan baharu kepada pesakit yang memerlukan rawatan …