Penyakit Buah Pinggang Kronik (CKD) kini menjadi satu isu kesihatan awam yang semakin membimbangkan di Malaysia. Kos rawatan telah melonjak kepada RM3.3 bilion setahun, berbanding hanya RM572 juta pada tahun 2010, susulan peningkatan kes yang berterusan.
Prevalens CKD juga menunjukkan trend peningkatan ketara, daripada 9% pada tahun 2011 kepada 15.5% pada tahun 2025. Lebih membimbangkan, secara purata 28 rakyat Malaysia memulakan rawatan dialisis setiap hari, manakala lebih 5 juta rakyat Malaysia hidup dengan CKD, namun hanya 5% sahaja yang menyedarinya.
Kerajaan terus komited dalam menangani isu ini melalui pendekatan pencegahan dan rawatan. Antaranya, peningkatan kadar Cukai Minuman Bergula kepada 90 sen seliter bermula 1 Januari 2025 telah menjana hasil sebanyak RM54.9 juta, dengan RM21 juta disalurkan kepada KKM bagi membiayai rawatan perencat SGLT2 yang terbukti membantu mengurangkan risiko komplikasi CKD.
Sehubungan itu, orang ramai diseru untuk mengamalkan gaya hidup sihat, mengawal pengambilan gula, serta menjalani saringan kesihatan secara berkala. Pencegahan awal adalah kunci dalam mengurangkan beban penyakit ini.
*Sumber Kementerian Kesihatan Malaysia



