RAMPAS: Rampasan diesel di dalam kenderaan pacuan empat roda milik suspek.
KUDAT: Kegiatan penyelewengan bahan api di perairan Sabah terus dibanteras apabila seorang lelaki tempatan ditahan bersama 800 liter minyak diesel dalam Operasi Bersepadu Inter Agensi (Op Tiris 4.0) di Pulau Banggi, di sini.
Operasi dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) cawangan Kudat dengan kerjasama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Empat Kudat dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat di kawasan jalan utama Karakit–Batu Layar.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah KPDN Cawangan Kudat, Nazatul Shima Karim berkata, sebuah kenderaan pacuan empat roda berwarna putih dikesan dalam keadaan mencurigakan.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut menemukan empat tong drum berisi minyak diesel dengan anggaran kuantiti 800 liter.
“Suspek gagal mengemukakan dokumen sah berkaitan pemilikan atau pengangkutan bahan api berkenaan sebelum ditahan bagi membantu siasatan.
“Kenderaan serta minyak diesel turut disita untuk tindakan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam kenyataan media di sini.
Beliau berkata, pihaknya terus mempergiat usaha membanteras aktiviti penyelewengan barang kawalan khususnya bahan api yang memberi kesan kepada ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Katanya, tindakan penguatkuasaan akan dipertingkat secara lebih agresif terutama di kawasan Pulau Banggi yang dikenal pasti sebagai lokasi berisiko tinggi berlakunya aktiviti penyeludupan bahan api.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pasukan Polis Marin dan Maritim Malaysia dengan kerjasama strategik dalam menjayakan operasi berkenaan.
Orang ramai juga digesa menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa melalui saluran rasmi yang disediakan.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



