KEJAYAAN SYARIKAT TEMPATAN SABAH JADI INSPIRASI USAHAWAN LAIN

BERJAYA: Ewon ketika melawat kilang ketiga syarikat Norcy BeautyLab Sdn. Bhd yang diusahakan oleh Norsiah (kanan) selepas merasmikan pembukaan kilang itu hari ini.

KUDAT: Kejayaan usahawan wanita tempatan, Norsiah Ahiddin, membangunkan syarikat Norcy BeautyLab Sdn. Bhd. dari perniagaan kecil kepada sebuah perusahaan yang berkembang ke pasaran antarabangsa menjadi inspirasi kepada usahawan lain di Sabah.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick berkata, pencapaian Norsiah membuktikan usahawan luar bandar juga mampu mencapai kejayaan dengan usaha gigih dan konsisten.

“Walaupun beliau (Norsiah) bermula dengan modal yang kecil, namun dengan adanya usaha bersungguh-sungguh, kini beliau berjaya membuka kilang ketiga di daerahnya sendiri.

“Saya mengikuti perkembangan kejayaan Norsiah sejak saya menerajui Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah dan merasmikan kilang pertama beliau di sini ketika itu.

“Hari ini, saya merasmikan kilang ketiga Norcy BeautyLab. Saya berharap kejayaan Norcy boleh menjadi contoh dan inspirasi kepada usahawan lain, kerana beliau bukan sahaja berjaya membuka kilang di daerah sendiri, malah berkembang ke luar Sabah, termasuk ke Nilai, Negeri Sembilan,” katanya selepas merasmikan kilang Norcy BeautyLab, di Matunggong di sini hari ini.

Ewon berkata, produk Norcy BeautyLab kini turut menembusi pasaran antarabangsa termasuk Brunei, sekali gus membuktikan potensi besar usahawan tempatan untuk bersaing di peringkat global.

Beliau berkata, kerajaan negeri melalui Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) sentiasa komited menyediakan pelbagai sokongan termasuk geran SME-UP serta pembiayaan bagi membantu usahawan menyertai ekspo antarabangsa.

“Kita mengalu-alukan penyertaan Norcy dalam ekspo antarabangsa bersama usahawan lain pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata, bantuan kerajaan kepada usahawan bukan sahaja meningkatkan kapasiti perniagaan, tetapi juga memberi pulangan kepada ekonomi setempat melalui peluang pekerjaan.

Sementara itu, Norsiah berkata, kejayaan yang dikecapi hari ini bermula daripada impian kecil yang direalisasikan melalui usaha berterusan, sokongan pasukan serta bantuan daripada pelbagai agensi kerajaan.

Beliau turut berkongsi cabaran yang dihadapi semasa pandemik COVID-19 apabila perniagaannya terjejas, namun mengambil inisiatif beralih kepada pengeluaran hand sanitizer bagi memenuhi permintaan semasa.

“Walaupun ketika itu jualan produk kecantikan merosot, kami tidak berputus asa. Kami menghasilkan sanitizer untuk dibekalkan kepada hospital dan kementerian, itu membantu syarikat saya terus bertahan,” katanya.

Mengimbas titik mula usaha beliau berkecimpung dalam bidang perniagaan, Norsiah berkata, perniagaannya bermula dengan modal hanya RM200 dari rumah sebelum membuka kilang pertama pada 2019.

“Jangan takut untuk bermula dari kecil kerana sesuatu yang besar itu bermula dengan langkah pertama,” katanya.

 

#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

 

Artikel/Berita Terkini

PERLUASAN KUGGP DICADANG MELIPUTI TUARAN

TINJAU: Jafry Membuat Tinjauan Semasa Di Majlis Itu.  TUARAN: Kerajaan negeri sedang meneliti cadangan untuk memperluaskan Kinabalu UNESCO Global Geopark …

12 DITAHAN, SINDIKET TIPU BOMOH CINA RUGIKAN MANGSA RM600,000

MOHD AZHAR  KOTA KINABALU: Sindiket ‘bomoh Cina’ yang menawarkan khidmat rawatan tradisional dan upacara keagamaan bagi menghindarkan perkara yang dipercayai …

SIRI TRIVIA HARI KEBANGSAAN 2026 | PANDUAN PENGGUNAAN DAN PENGGANTUNGAN JALUR GEMILANG

Mengibarkan Jalur Gemilang bukan sekadar mencipta suasana sambutan, tetapi merupakan tanda hormat, cinta dan setia kepada tanah air. Ramai yang …