SERAH: Nizam (empat kanan) menyempurnakan simbolik penyerahan kunci Rumah Mesra SMJ kepada penerima di Kampung Batu Payung, Tawau.
TAWAU: Kontraktor yang dilantik bagi melaksanakan projek Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) diingatkan supaya lebih kompeten, telus dan mematuhi spesifikasi ditetapkan bagi memastikan projek dapat disiapkan mengikut jadual.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, sebarang kelemahan dalam pelaksanaan bukan sahaja menjejaskan penerima, malah boleh memberi kesan kepada imej kerajaan.
Katanya, kontraktor tidak seharusnya menyerahkan projek kepada pihak lain sehingga menjejaskan kos dan kualiti pembinaan.
“Kita tidak mahu apabila kontraktor dilantik, mereka menyerahkan kerja kepada pihak lain sehingga kos berubah dan akhirnya projek tidak dapat disiapkan seperti dijadualkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Rumah Mesra SMJ kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N68 Apas di Kampung Batu Payung, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, berkata pelaksanaan projek berkenaan perlu dilakukan dengan penuh tanggungjawab memandangkan ia membabitkan kebajikan golongan kurang berkemampuan.
“Jika berlaku ketidaktelusan atau ketidakcekapan, ia bukan sahaja menyusahkan pemohon, malah boleh merosakkan imej kerajaan yang berniat membantu rakyat,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata sebanyak 100 unit Rumah Mesra SMJ berjaya disiapkan di kawasan DUN Apas sepanjang tempoh 2022 hingga 2025.
Katanya, daripada jumlah itu, 31 unit rumah diserahkan kepada penerima yang telah siap dibina pada majlis berkenaan.
“Bagi tahun ini, sebanyak 50 unit lagi diperuntukkan termasuk 10 unit khas untuk golongan belia yang baru berkahwin,” katanya.
Menurutnya, program itu memberi manfaat besar kepada golongan e-Kasih dan miskin tegar yang tidak berkemampuan memiliki rumah sendiri.
Tambahnya, di peringkat negeri, inisiatif itu telah memberi manfaat kepada lebih 7,000 penerima setakat ini.
Dalam perkembangan sama, beliau menjelaskan pemilihan penerima dibuat secara telus melalui jawatankuasa melibatkan Kementerian Pembangunan Luar Bandar negeri serta pihak berkuasa tempatan.
“Setiap permohonan akan disemak termasuk lawatan ke lapangan bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak menerima bantuan.
“Jika tidak menepati syarat, permohonan akan dibatalkan,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri di bawah pimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor akan terus komited melaksanakan program itu bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat selaras agenda Sabah Maju Jaya.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



