BANTUAN: Suryady (dua kanan) menyampaikan bantuan air minuman kepada penduduk Pulau Sebatik.
TAWAU: Sebanyak 48,000 botol air minuman diagihkan kepada penduduk Pulau Sebatik sebagai langkah segera bagi meringankan beban susulan krisis bekalan air yang semakin kritikal di kawasan berkenaan.
Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata, agihan itu melibatkan sumbangan 3,000 karton air minuman bersaiz 1.5 liter yang disalurkan untuk kegunaan harian penduduk terjejas.
Katanya, inisiatif itu dilaksanakan sebagai langkah jangka pendek bagi memastikan keperluan asas penduduk terus terjaga sementara usaha pemulihan bekalan air dilakukan secara berperingkat oleh pihak berkaitan.
“Agihan ini adalah sebahagian usaha segera bagi membantu penduduk yang terkesan akibat gangguan bekalan air yang berpunca daripada kemarau berpanjangan sejak Februari lalu.
“Kita memahami kesukaran yang dihadapi penduduk, justeru bantuan ini diharap dapat sedikit sebanyak mengurangkan beban mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan kerja ke Pulau Sebatik bagi meninjau sendiri situasi semasa krisis air yang melanda beberapa kampung di kawasan berkenaan, semalam.
Suryady berkata sumbangan berkenaan turut disokong oleh beberapa pihak termasuk syarikat swasta dan Petronas, yang bersama-sama membantu menyalurkan bantuan kepada penduduk terjejas.
Menurutnya, selain agihan air minuman, bekalan air turut dihantar secara berjadual menggunakan lori Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) serta lori tambahan bagi memastikan pengagihan lebih menyeluruh ke kampung-kampung terlibat.
“Keadaan empangan utama di Pulau Sebatik kini berada pada paras kritikal susulan cuaca kering berpanjangan, sekali gus memerlukan tindakan segera dan berterusan bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk.
“Kita akan terus memantau keadaan dan melaksanakan intervensi segera bagi memastikan keperluan asas penduduk tidak terjejas,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan komitmen pihaknya bersama agensi berkaitan untuk mencari penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang dalam menangani isu bekalan air di Pulau Sebatik.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



