KUASA RASA KAGUM: RAHSIA MENGURANGKAN STRESS SECARA SEMULA JADI

Pengalaman rasa kagum merupakan fenomena psikologi yang kompleks dan berpotensi memberi kesan positif terhadap kesejahteraan mental seseorang. Perasaan ini biasanya timbul apabila seseorang berhadapan dengan sesuatu yang luar biasa, indah atau mengagumkan. Ia boleh berlaku ketika melihat keindahan alam semula jadi, seni bina warisan yang unik, mahupun ketika menyaksikan pengalaman budaya yang berbeza daripada kebiasaan. Kajian psikologi menunjukkan bahawa pengalaman rasa kagum mampu menstabilkan tindak balas fizikal serta membantu minda mengurus tekanan emosi dengan lebih baik. Dalam masa yang sama, perasaan ini juga dapat meningkatkan fokus dan ketajaman mental seseorang.

Sebagai contoh, menelusuri pemandangan semula jadi yang menakjubkan di negeri Sabah seperti Gunung Kinabalu, hutan hujan tropika serta pantai-pantai yang indah mampu menimbulkan rasa kagum yang mendalam kepada pengunjung. Keindahan alam semula jadi ini bukan sahaja mempesonakan mata, malah memberikan kesan menenangkan kepada tubuh dan minda. Apabila seseorang berada dalam suasana alam yang damai, tubuh akan menjadi lebih relaks, degupan jantung dapat menurun secara semula jadi dan ketegangan emosi juga beransur reda. Pada masa yang sama, minda menjadi lebih fokus dan perhatian menjadi lebih tajam.

Selain alam semula jadi, rasa kagum juga boleh timbul apabila melihat kehebatan pencapaian manusia dalam pelbagai bidang seperti sains, sukan, seni dan kepimpinan. Kejayaan seseorang hasil usaha gigih dan disiplin tinggi sering memberi inspirasi kepada orang lain. Begitu juga dengan karya seni seperti lukisan, muzik, seni bina dan warisan budaya yang mempamerkan kreativiti serta keunikan sesuatu masyarakat.

Di samping itu, rasa kagum terhadap keperibadian seseorang juga boleh memberi kesan emosi yang positif. Individu yang memiliki sifat baik hati, berani, jujur dan berdedikasi tinggi sering menjadi sumber inspirasi kepada orang di sekeliling. Kekaguman terhadap seseorang kadangkala boleh berkembang menjadi perasaan kasih sayang atau cinta. Perasaan ini mampu menimbulkan emosi positif yang membantu mengurangkan tekanan serta menjadikan seseorang berasa lebih tenang dan bahagia.

Selain pengalaman visual dan emosi, rasa kagum juga boleh diperkukuh dengan meluangkan masa untuk menenangkan minda melalui meditasi, latihan kawalan pernafasan serta aktiviti fizikal yang sederhana. Pendekatan ini membantu individu menstabilkan emosi dan meningkatkan kesejahteraan mental. Malah, perkara kecil dalam kehidupan seperti melihat kebaikan orang lain atau menerima bantuan ketika susah juga mampu menimbulkan rasa kagum dan penghargaan terhadap kehidupan. Jika seseorang berasa stress, mencari orang yang boleh memberi inspirasi, menaikkan semangat dan menyokong kita juga boleh membantu mengembalikan tenaga positif dan keyakinan diri.

Kesimpulannya, pemanfaatan pengalaman keindahan alam, pencapaian manusia, hubungan sesama insan serta amalan penjagaan minda membuktikan bahawa rasa kagum berperanan sebagai mekanisme semula jadi dalam pengurusan tekanan psikologi. Dengan membuka diri kepada pengalaman yang indah, menghargai perkara di sekeliling, dan dikelilingi oleh orang yang memberi semangat, seseorang dapat memperkukuh kesihatan mental, meningkatkan kepuasan hidup serta menghadapi cabaran kehidupan moden dengan lebih tenang, seimbang dan bermakna.

 

Sumber: https://www.dailygood.org/story/1305/why-we-feel-awe-dacher-keltner/?lang=id

 

Artikel/Berita Terkini

PERLUASAN KUGGP DICADANG MELIPUTI TUARAN

TINJAU: Jafry Membuat Tinjauan Semasa Di Majlis Itu.  TUARAN: Kerajaan negeri sedang meneliti cadangan untuk memperluaskan Kinabalu UNESCO Global Geopark …

12 DITAHAN, SINDIKET TIPU BOMOH CINA RUGIKAN MANGSA RM600,000

MOHD AZHAR  KOTA KINABALU: Sindiket ‘bomoh Cina’ yang menawarkan khidmat rawatan tradisional dan upacara keagamaan bagi menghindarkan perkara yang dipercayai …

SIRI TRIVIA HARI KEBANGSAAN 2026 | PANDUAN PENGGUNAAN DAN PENGGANTUNGAN JALUR GEMILANG

Mengibarkan Jalur Gemilang bukan sekadar mencipta suasana sambutan, tetapi merupakan tanda hormat, cinta dan setia kepada tanah air. Ramai yang …