TINJAU: Nizam (tengah) semasa membuat tinjauan di tapak projek berkenaan.
KOTA KINABALU: Kontinjen Sabah kini giat melakukan persiapan bagi menghadapi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 bagi mencapai sasaran 40 pingat emas.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, pihaknya optimistik bahawa sasaran itu boleh dicapai memandangkan kontinjen Sabah sebelum ini mampu mencapai sejumlah 33 pingat emas.
“Kita berharap sasaran itu mampu dicapai dengan atlet-atlet yang disenarai pendek kini gigih menjalani latihan.
“Mereka berusaha memastikan stamina masing-masing ditahap terbaik, dengan disiplin yang dijaga sekali gus harap kesungguhan mereka ini mampu mencapai sasaran itu,” katanya ditemui selepas dalam Acara Pratonton Eksklusif projek Marché Kota Kinabalu, di sini hari ini.
Beliau berkata, sasaran itu sebenarnya sudah diletakkan beberapa tahun lepas, tetapi gagal dicapai dan kini berharap para atlet negeri ini mampu mencapainya.
Dalam pada itu, beliau berkata, projek pembangunan pusat gaya hidup baharu, Marché Kota Kinabalu, dijangka menjadi antara mercu tanda utama di Sabah apabila siap kelak, sekali gus memperkukuh kedudukan ibu negeri ini sebagai destinasi moden dan dinamik.
Katanya, pembangunan itu bukan sekadar projek komersial, tetapi mencerminkan keyakinan tinggi terhadap potensi Kota Kinabalu dan pertumbuhan pesat negeri Sabah.
“Projek ini melambangkan pembangunan yang terancang, inklusif dan berimpak tinggi, selaras dengan keperluan masyarakat moden masa kini,” katanya.
Marché Kota Kinabalu merupakan pusat beli-belah gaya hidup berkonsep terbuka pertama di bandar ini, yang menekankan elemen mesra komuniti serta pengalaman pengguna yang berkualiti.
Menurutnya, projek itu membawa visi lebih besar dengan mewujudkan ruang yang menghubungkan masyarakat, meraikan budaya tempatan serta menarik kehadiran pelawat dari dalam dan luar negara.
Dari segi ekonomi katanya, pembangunan itu dijangka memberi pelbagai manfaat termasuk pewujudan peluang pekerjaan, pemerkasaan keusahawanan belia serta pengukuhan ekosistem ekonomi tempatan.
Selain itu katanya, ia juga dijangka meningkatkan daya tarikan Kota Kinabalu sebagai destinasi gaya hidup dan pelancongan di peringkat serantau.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



