Ramai orang membesar dengan ayat ini. “Jangan mandi lewat malam. Nanti paru-paru berair.” “Kalau nak mandi juga,tunggu lepas 12 malam.” Bunyi dia macam petua lama yang ramai sangat ulang, sampai orang anggap itu fakta. Tapi dari sudut perubatan, mandi lewat malam bukan punca paru-paru berair. Patu-paru berair atau masalah paru-paru bukan jadi sebab air mandi masuk ke paru-paru. Jangkitan paru-paru seperti pneumonia biasanya berlaku kerana kuman seperti virus atau bakteria. Bukan sebab anda mandi pukul 10.00 malam. Bukan sebab anda mandi sebelum 12.00 malam. Dan bukan juga sebab tubuh terkena air pada waktu malam. Jadi kenapa ramai rasa macam “mandi malam buat badan jadi tak sedap”? Sebab pada sesetengah orang, air sejuk dan tubuh yang kesejukan memang boleh buat badan rasa tak selesa.
Orang yang ada asma mungkin lebih mudah rasa semput. Orang tua mungkin rasa mengiggil, orang yang sedang demam, batuk, atau tak sihat pun mungkin rasa keadaan jadi lebih teruk. Tetapi itu berbeza dengan dakwaan bahawa mandi lewat malam merosakkan paru-paru. Maksudnya bukan mandi malam itu yang bahaya untuk semua orang. Yang perlu diberi perhatian ialah keadaan badan anda ketika itu. Kalau anda sihat, mandi lewat malam secara umum bukan masalah besar. Tetapi kalua badan terlalu letih, sedang deman, mengiggil, ada asma, atau memamg sensitive dengan air sejuk,mandi dengan air suam lebih sesuai.
Jadi kalau orang tanya, “Betul ke mandi lewat malam boleh rosakkan paru-paru?” Jawapannya, tidak. Yang lebih penting bukan pukul berapa anda mandi. Yang lebih penting ialah suhu air, keadaan kesihatan anda, dan sama ada tubuh anda memang sedang perlukan lebih penjagaan.



