SABAH PERLU SELARAS PEMBANGUNAN PASARAN BURUH DENGAN PENDIDIKAN, TEKNOLOGI

PENGHARGAAN: James (tengah) menerima cenderakenangan daripada Khairul Firdaus.

KOTA KINABALU: Sabah perlu menyelaraskan pembangunan pasaran buruh dengan kemajuan pendidikan, teknologi dan inovasi bagi memastikan negeri ini mampu melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang memenuhi keperluan industri masa hadapan.

Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib berkata, pengukuhan pasaran buruh tidak boleh dilihat semata-mata sebagai isu pekerjaan.

Namun, katanya, ia sebaliknya perlu digerakkan secara menyeluruh melalui pembangunan bakat, penguasaan teknologi dan sistem pendidikan yang responsif terhadap kehendak industri.

“Penyelarasan antara pendidikan, teknologi dan strategi pasaran buruh akan membuka peluang kepada Sabah untuk muncul sebagai hab bakat dan inovasi di wilayah Borneo.

“Jika pendidikan, teknologi dan strategi pasaran buruh digerakkan secara selari, Sabah bukan sahaja mampu memperkukuh pasaran buruhnya, malah berpotensi muncul sebagai hab bakat dan inovasi di wilayah Borneo,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Bengkel Pelan Tindakan Pengukuhan Pasaran Buruh Negeri Sabah 2026.

Bengkel berkenaan dianjurkan oleh Kementerian Sumber Manusia Malaysia bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di sini, baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau berkata pembangunan ekosistem bakat yang kukuh memerlukan kerjasama strategik antara kerajaan negeri, kerajaan Persekutuan, institusi pendidikan serta pihak industri.

Katanya, kerjasama bersepadu itu penting bagi memastikan setiap dasar dan program pembangunan bakat dapat dilaksanakan secara lebih berkesan.

Sehubungan itu, James berkata, kementeriannya akan memberi penekanan kepada pengukuhan latihan teknologi tinggi, pembangunan inovasi serta peluasan capaian internet dan infrastruktur digital, khususnya di kawasan luar bandar.

Menurutnya, pendekatan perancangan pasaran buruh berasaskan data melalui platform MYFutureJobs juga dilihat sebagai langkah tepat dalam membantu memperkukuh analisis pasaran kerja serta meningkatkan padanan pekerjaan.

“Penyelarasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan keperluan industri, program reskilling dan upskilling serta penglibatan aktif majikan dalam pembangunan latihan antara langkah penting untuk memastikan graduan Sabah memiliki kemahiran teknologi sebenar yang diperlukan oleh pasaran,” katanya.

Turut hadir Timbalan Menteri di Kementerian Sumber Manusia Malaysia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan dan Ketua Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan di PERKESO, Datuk Asri Abdul Rahman.

 

#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

Artikel/Berita Terkini

PERLUASAN KUGGP DICADANG MELIPUTI TUARAN

TINJAU: Jafry Membuat Tinjauan Semasa Di Majlis Itu.  TUARAN: Kerajaan negeri sedang meneliti cadangan untuk memperluaskan Kinabalu UNESCO Global Geopark …

12 DITAHAN, SINDIKET TIPU BOMOH CINA RUGIKAN MANGSA RM600,000

MOHD AZHAR  KOTA KINABALU: Sindiket ‘bomoh Cina’ yang menawarkan khidmat rawatan tradisional dan upacara keagamaan bagi menghindarkan perkara yang dipercayai …

SIRI TRIVIA HARI KEBANGSAAN 2026 | PANDUAN PENGGUNAAN DAN PENGGANTUNGAN JALUR GEMILANG

Mengibarkan Jalur Gemilang bukan sekadar mencipta suasana sambutan, tetapi merupakan tanda hormat, cinta dan setia kepada tanah air. Ramai yang …