PRIHATIN: Jamawi (kanan) menyantuni orang ramai dan kanak-kanak yang terjejas akibat banjir di PPS semalam.
TENOM: Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) akan memastikan setiap pegawai di bawah agensinya turun padang ke kawasan terjejas banjir bagi memantau keadaan semasa.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Jamawi Jaafar berkata, ia termasuk pemantauan di kawasan Tenom, Nabawan, Sook, Tongod, Sipitang, Beaufort, dan Pitas.
Katanya, tindakan itu bagi menilai tahap kerosakan sektor pertanian serta menyelaras bantuan segera kepada petani, penternak dan nelayan yang terjejas.
Menurutnya, pendekatan turun padang penting bagi memastikan maklumat kerosakan tanaman, ternakan dan infrastruktur pertanian dapat dikumpulkan secara tepat dan menyeluruh.
Beliau menegaskan langkah itu membolehkan proses penyaluran bantuan dan pelaksanaan langkah pemulihan dijalankan dengan lebih cepat dan berkesan.
Jamawi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap berkata demikian ketika ditemui selepas melawat pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Seri Panglima Antanom dan Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa di sini semalam bagi meninjau keadaan mangsa yang terjejas akibat banjir.
Melalui lawatan berkenaan, ia turut memberi peluang beliau berinteraksi dengan mangsa serta memahami keperluan mereka secara langsung.
Jamawi berkata, kementerian turut bekerjasama dengan agensi berkaitan di peringkat daerah bagi memastikan bantuan seperti bekalan makanan ternakan, benih tanaman dan sokongan teknikal dapat disalurkan dengan segera dan berkesan kepada semua kawasan terlibat.
Katanya, bantuan itu merangkumi daerah di Pantai Barat dan Pedalaman yang terkesan akibat keadaan cuaca tidak menentu.
Selain itu, beliau menekankan kepentingan pemantauan berterusan terhadap kawasan pertanian bagi mengesan kerosakan lebih awal.
“Ini membolehkan Pejabat Pertanian Daerah menyediakan bantuan bersasar serta mengelakkan kehilangan hasil pertanian yang lebih besar.
“Kita menasihatkan para pengusaha pertanian supaya sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa dan mengambil langkah keselamatan sewajarnya sepanjang musim tengkujuh.
“Mereka juga digalakkan melaporkan sebarang kerosakan atau ancaman banjir kepada Pejabat Pertanian Daerah bagi membolehkan tindakan susulan diambil segera,” jelasnya.
Jamawi berkata, kerajaan negeri komited untuk memulihkan sektor pertanian di kawasan terjejas banjir agar pengusaha pertanian, penternak dan nelayan dapat kembali beroperasi secepat mungkin.
Menurutnya, usaha itu dijangka membantu mengurangkan impak ekonomi terhadap komuniti luar bandar yang bergantung sepenuhnya kepada sektor pertanian dan perikanan.
Beliau berkata, pendekatan kerjasama antara kementerian, agensi berkaitan dan komuniti tempatan menjadi kunci dalam menghadapi musim tengkujuh.
“Semua pihak perlu sentiasa bersedia dan peka terhadap sebarang amaran awal bagi memastikan keselamatan nyawa serta kelangsungan ekonomi penduduk luar bandar terjamin,” katanya.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



