BANTUAN: mangsa banjir di PPS Pitas menerima bantuan barangan keperluan.
KOTA KINABALU: Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Pitas dan Paitan terus meningkat menjadikan jumlah keseluruhan mangsa banjir di Sabah seramai 5,086 orang.
Menurut kenyataan Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Sabah, setakat jam 4 petang hari ini, seramai 2,018 keluarga dari 86 kampung di tiga daerah termasuk Tawau ditempatkan di 32 PPS yang beroperasi sejak Jumaat lepas.
Di daerah Pitas, sebanyak 2,720 orang daripada 1,357 keluarga dari 46 kampung dipindahkan ke 11 PPS manakala, seramai 2,071 mangsa daripada 590 keluarga dari 39 kampung berada di 20 PPS di daerah Paitan.
Jumlah mangsa banjir di Tawau kekal seramai 245 orang daripada 55 keluarga yang ditempatkan di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Tawau.
Selain itu, jumlah mangsa kebakaran yang ditempatkan di PPS Dewan Kampung Malangkap Tiong Kota Belud kekal seramai 50 orang daripada 16 keluarga.
Daripada jumlah keseluruhan mangsa banjir dan kebakaran di PPS, seramai 1,705 adalah lelaki dewasa dan 1,752 perempuan dewasa. Jumlah kanak-kanak adalah seramai 1,629 orang termasuk 793 kanak-kanak lelaki dan 836 kanak-kanak perempuan.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



