PERUNTUKAN RM559.85 JUTA PERKASA KETERJAMINAN MAKANAN SABAH

Hajiji pada Majlis Pelancaran Jelajah Kebun Dapur MAFFI di Padang Istiadat, Tuaran hari ini.

TUARAN: Kerajaan Negeri Sabah memperuntukkan sejumlah RM559.85 juta kepada Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) tahun ini bagi meningkatkan keterjaminan makanan dan Kadar Sara Diri (SSR) tanaman makanan di negeri itu.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata peruntukan itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan sekuriti makanan kekal kukuh, memandangkan isu berkenaan kini menjadi agenda utama di peringkat global dan nasional.

“Sektor pertanian, perikanan dan industri makanan terus menjadi nadi kepada pembangunan sosioekonomi Sabah,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jelajah Kebun Dapur MAFFI di Padang Istiadat, Tuaran di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah Datuk Jamawi Jaafar, Pembantu Menteri Datuk Ruslan Muharam dan Ahli Parlimen Tuaran Datuk Wilfred Madius Tangau.

Hajiji berkata beberapa inisiatif kini sedang giat dilaksanakan Jabatan Pertanian Sabah termasuk pembangunan Zon Pengeluaran Tanaman Makanan Kekal di 15 buah Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di Sabah.

Beliau berkata RM3 juta juga telah diperuntukkan kepada Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS) bagi perbelanjaan mengurus manakala RM15 juta lagi disediakan untuk perolehan jentera menuai serta pembajakan padi.

“Inisiatif ini bertujuan menjadikan Sabah sebagai pengeluar padi dan beras yang mampan serta berdaya saing bagi menjamin sekuriti makanan dengan sasaran 60 peratus Tahap Sara Diri (SSL) menjelang 2030,” katanya.

Bagaimanapun, Hajiji berkata tanggungjawab keterjaminan makanan tidak seharusnya diletakkan di bahu ladang atau projek berskala besar semata-mata, sebaliknya perlu bermula di peringkat akar umbi.

Justeru, program Kebun Dapur di bawah Revolusi Ekonomi Luar Bandar diperkenalkan sebagai strategi mengurangkan kos sara hidup selain membentuk komuniti lebih berdikari dan mampan.

Katanya, Jelajah Kebun Dapur akan dilaksanakan ke seluruh Sabah bagi memastikan manfaat program sampai kepada rakyat di kawasan bandar, luar bandar mahupun pedalaman.

“Saya juga mahu melihat daerah Tuaran muncul sebagai ‘Daerah Kebun Dapur Model’. Inisiatif ini benar-benar menjadi sebahagian daripada cara hidup komuniti,” katanya.

Beliau berkata program berkenaan akan dibimbing oleh mentor-mentee usahawan yang berjaya kepada komuniti setempat bagi memastikan pemindahan pengetahuan dan amalan terbaik dapat dilaksanakan secara berterusan.

 

#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …