Masalah serangan siput gondang emas yang sekian lama menjejaskan hasil tanaman padi di Terengganu kini menunjukkan perkembangan positif apabila kehadiran ribuan burung hijrah didapati bertindak sebagai agen kawalan biologi yang berkesan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Azman Ibrahim berkata, fenomena kehadiran burung berkenaan merupakan satu rahmat kepada pesawah yang sebelum ini berdepan kerugian akibat serangan perosak tersebut.
Pelbagai pendekatan termasuk penggunaan racun makhluk perosak telah dilaksanakan bagi mengawal populasi siput gondang emas, namun hasilnya masih belum memuaskan. Kehadiran spesies burung yang tidak diketahui asal usulnya itu, bagaimanapun, berjaya membantu mengurangkan populasi perosak secara semula jadi.
Burung hijrah ini datang dalam jumlah ratusan hingga ribuan ekor dan membantu ‘membersihkan’ sawah daripada siput gondang emas. Ia bukan spesies tempatan, namun kehadirannya memberi impak besar kepada sektor penanaman padi.
Fenomena tersebut dilaporkan berlaku secara konsisten sejak lebih lima tahun lalu. Selain mensasarkan siput gondang emas, burung berkenaan turut memakan spesies siput lain termasuk siput sedut yang terdapat di kawasan sawah.
Sumbangan besar kumpulan burung itu terhadap kelestarian tanaman padi di negeri ini wajar dihargai, malah secara berseloroh menyifatkan spesies tersebut layak diberikan ‘status naturalisasi’.
Impak positif lain yang dapat dilihat ialah pengurangan penggunaan racun kimia secara drastik, sekali gus membantu meningkatkan kualiti tanaman padi dan memelihara keseimbangan ekosistem sawah. Keberkesanan kaedah semula jadi ini membuktikan bahawa ekosistem yang seimbang mampu menjadi solusi terbaik dalam menangani cabaran sektor pertanian, seterusnya menjamin keterjaminan sekuriti makanan negeri.
Sumber: TRDI
Infografik: Harian Metro



