PERIKSA: Kakitangan ECoS memeriksa barangan yang disita semasa operasi dijalankan.
KOTA KINABALU: Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) merampas dan menyita barangan kelengkapan elektrik tanpa label keselamatan SIRIM bernilai lebih RM300,000 dalam serbuan di dua premis sekitar bandar raya ini pada 11 Februari lalu.
Operasi julung kali itu membabitkan 23 pegawai ECoS dengan kerjasama empat pegawai SIRIM Berhad selaku badan penilaian pematuhan yang diiktiraf.
Ketua Pegawai Operasi ECoS, Ridwan Saham berkata, tindakan penguatkuasaan dijalankan bagi memastikan semua kelengkapan elektrik mematuhi keperluan perundangan mengikut Peraturan 107, Peraturan-Peraturan Bekalan Elektrik 2024 (PPBE 2024).
“Operasi dilaksanakan susulan pengeluaran Notis Larangan pada Disember 2025.
“Bagaimanapun beberapa premis masih didapati ingkar mematuhi notis itu dan terus menjual kelengkapan elektrik yang tidak mematuhi kehendak perundangan,” katanya dalam kenyataan media.
RAMPAS: Sebahagian barangan yang dirampas ECoS dalam operasi ini.
Menurutnya, mengikut subperaturan 110(2) PPBE 2024, mana-mana pihak yang melakukan kesalahan menjual kelengkapan elektrik pengguna yang tidak mematuhi kehendak perundangan boleh dikenakan denda sehingga RM20,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
Ridwan berkata, ECoS akan terus mempergiat usaha penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan pengguna sentiasa terpelihara.
“Tindakan ini penting bagi memastikan semua pihak mematuhi peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa di Sabah serta mengelakkan penggunaan kelengkapan elektrik yang boleh menjejaskan keselamatan pengguna,” katanya.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



