MELAKA SASAR REALISASI PUSAT KECEMERLANGAN TVET TAHUN INI

Ayer Keroh – Kerajaan Negeri bakal merealisasikan penubuhan Pusat Kecemerlangan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET Centre of Excellence) tahun ini dengan cadangan awal lokasi di kawasan Ayer Keroh.

Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri Datuk Khaidhirah Abu Zahar berkata, pusat kecemerlangan itu dijangka menjadi pemangkin utama pembangunan tenaga kerja berkemahiran mengikut keperluan industri di negeri ini.

Menurutnya, inisiatif Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh itu berperanan sebagai hab latihan bagi program peningkatan kemahiran dan latihan semula kemahiran dalam bidang teknikal serta vokasional.

“Pusat ini tidak hanya tertumpu kepada pelajar institusi TVET, sebaliknya terbuka kepada semua golongan, termasuk pekerja industri yang ingin meningkatkan kemahiran bagi memenuhi tuntutan pasaran pekerjaan semasa.

“Ia bukan sekadar tempat latihan tetapi ruang untuk semua pihak meningkatkan tahap kemahiran masing-masing, sama ada pelajar, graduan mahupun pekerja industri,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Khaidhirah berkata kejayaan penubuhan pusat itu bergantung kepada kerjasama erat sektor industri, khususnya pemain industri di seluruh Negeri Melaka.

“Kita tidak boleh bergerak secara satu hala, sama ada institusi atau kerajaan sahaja kerana input serta penglibatan industri adalah keperluan sebenar kemahiran di lapangan.

“Justeru kita sedang mengenal pasti fungsi serta hala tuju pusat secara terperinci bagi memastikan penubuhannya memberi impak sebenar dan bukan sekadar simbolik.

“Kita tidak mahu sekadar membuka pusat tanpa pengisian yang jelas. Sasaran latihan, unjuran keperluan industri serta input dan output sedang diperhalusi agar pusat ini benar-benar relevan dan mampan,” katanya.

Jelasnya, Kerajaan Negeri memberi jaminan pusat kecemerlangan itu tidak akan bersaing dengan institusi sedia ada seperti Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Melaka, sebaliknya berfungsi sebagai pelengkap kepada keseluruhan ekosistem TVET.

“Melalui sesi libat urus bersama industri, kita mengenal pasti jurang kemahiran yang masih wujud dan menyumbang kepada isu kebolehkerjaan,” katanya.

Sumber : Melaka Hari Ini (MHI)

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …