DULU SURI RUMAH, KINI PEMBUAT BATIK

Machap Jaya – Bermula dengan hanya ‘langkah kecil’ meluangkan masa kira-kira seminggu mempelajari pembuatan batik, sekumpulan suri rumah di Felda Hutan Percha kini membuktikan kemahiran diperoleh itu mampu mengubah kehidupan sekaligus membuka ruang ke arah keusahawanan komuniti.

Kemahiran baharu yang tidak pernah mereka jangka sebelum ini kini membuatkan mereka tidak menang tangan menyiapkan batik terap untuk dijual selain memenuhi permintaan pelanggan.

Menurut suri rumah, Yanti Mohd Saleh, 55, penyertaan dalam kursus anjuran Kraftangan Negeri Melaka itu memberi pengalaman dan ilmu yang amat berharga, khususnya berkaitan kaedah menghasilkan batik terap serta penggunaan warna yang sesuai.

“Sebelum ini memang tiada langsung pendedahan tentang batik namun selepas mengikuti kursus, kami gunakan sebaik mungkin ilmu yang dipelajari untuk terlibat secara aktif di bawah Bengkel Komuniti Batik Felda Hutan Percha.

“Kira-kira seminggu saya bersama rakan yang lain mengikuti kursus antaranya diterangkan bagaimana mengenali teknik, proses serta kreativiti dalam seni batik.

“Kemahiran yang diperoleh bukan sahaja membantu mengisi masa lapang dengan aktiviti berfaedah malah memberi perubahan besar dalam kehidupan harian apabila hasil batik yang dihasilkan berjaya dipasarkan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Ibu kepada dua anak itu berkata, selain kesungguhan, kesepakatan komuniti menjadi kunci kejayaan apabila mereka saling bekerjasama dalam setiap peringkat penghasilan batik, daripada penyediaan kain, mencorak sehinggalah proses pewarnaan.

“Jika dahulu tugas atau kepakaran saya hanya menguruskan rumah tetapi kini saya individu bertanggungjawab menghasilkan warna-warna batik yang menarik.

“Inilah yang tidak dijangka, dengan pendedahan diberikan saya mempunyai pengetahuan tentang teknik campuran dan penghasilan warna batik yang menarik,” katanya.

Katanya yang juga anak jati Felda Hutan Percha, inisiatif itu dilihat bukan sahaja memperkasakan golongan suri rumah dengan kemahiran baharu tetapi berpotensi mengangkat produk batik sebagai sumber ekonomi komuniti setempat.

Sumber : Melaka Hari Ini (MHI)

Artikel/Berita Terkini

PERLUASAN KUGGP DICADANG MELIPUTI TUARAN

TINJAU: Jafry Membuat Tinjauan Semasa Di Majlis Itu.  TUARAN: Kerajaan negeri sedang meneliti cadangan untuk memperluaskan Kinabalu UNESCO Global Geopark …

12 DITAHAN, SINDIKET TIPU BOMOH CINA RUGIKAN MANGSA RM600,000

MOHD AZHAR  KOTA KINABALU: Sindiket ‘bomoh Cina’ yang menawarkan khidmat rawatan tradisional dan upacara keagamaan bagi menghindarkan perkara yang dipercayai …

SIRI TRIVIA HARI KEBANGSAAN 2026 | PANDUAN PENGGUNAAN DAN PENGGANTUNGAN JALUR GEMILANG

Mengibarkan Jalur Gemilang bukan sekadar mencipta suasana sambutan, tetapi merupakan tanda hormat, cinta dan setia kepada tanah air. Ramai yang …