SABAH ALU-ALUKAN KEHADIRAN PELABUR ASING UNTUK PEMBANGUNAN INDUSTRI TENAGA

CENDERAMATA: Hajiji menerima cenderamata daripada Ryan semasa menerima kunjungan hormat di pejabatnya di Menara Kinabalu pada Khamis.

KOTA KINABALU: Sabah sentiasa mengalu-alukan kehadiran dan sokongan pelabur antarabangsa berwibawa yang mampu membawa nilai tambah kepada pembangunan industri tenaga, minyak dan gas negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, Kerajaan Negeri komited menyediakan persekitaran pelaburan yang stabil, kondusif dan berdaya saing bagi menarik pelaburan berkualiti tinggi, khususnya dalam sektor tenaga dan minyak.

“Kerjasama strategik antara syarikat minyak antarabangsa dan pemain industri utama perlu memberi manfaat jangka panjang kepada negeri serta rakyat Sabah,” katanya ketika menerima kunjungan hormat Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ConocoPhillips Ryan Lance di pejabatnya di Menara Kinabalu, pada Khamis. 

BINCANG: Hajiji mengadakan perbincangan bersama Lance di pejabatnya di Menara Kinabalu pada Khamis.

Sementara itu, Ryan Lance memaklumkan ConocoPhillips merupakan antara syarikat minyak utama dari Amerika Syarikat serta pemain bebas terbesar dunia dalam aktiviti penerokaan dan pengeluaran minyak dan gas, dengan operasi di pelbagai rantau strategik global.

Katanya, ConocoPhillips memberi tumpuan pelaburan di Sabah dan pada masa sama mengukuhkan komitmen jangka masa panjangnya terhadap Malaysia.

“Kami bangga kerana dapat bersama-sama membangunkan industri minyak dan gas di Sabah, dan yakin industri ini menyediakan pertumbuhan masa hadapan yang amat cerah kepada Sabah,” katanya yang kali pertama melawat Sabah.

ConocoPhillips Sabah Gas kini menjadi pengendali tunggal bagi Kluster Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) Kebabangan (KBBC) di Sabah selepas Petronas memindahkan pengendalian itu kepadanya pada 21 Januari 2025, menjadikannya pengendali tunggal kluster medan minyak dan gas tersebut.

 

 #MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

Artikel/Berita Terkini

KEMURUNGAN DIGITAL MEMPENGARUHI KEHIDUPAN

Kemurungan digital atau digital depression kini menjadi isu yang semakin membimbangkan dalam kalangan masyarakat, terutama golongan remaja dan dewasa muda …

PANDUAN MENGGUNAKAN PERSIMPANGAN BULATAN DENGAN BETUL

Persimpangan bulatan direka untuk melancarkan aliran trafik dan mengurangkan risiko kemalangan. Namun, keselamatan hanya dapat dicapai apabila setiap pengguna jalan …