Siaran Terkini : 20 Januari 2026
Gambaran Keseluruhan
Inflasi Malaysia meningkat 1.6 peratus pada Disember 2025
Inflasi Malaysia meningkat 1.6 peratus pada Disember 2025 dengan mata indeks mencatatkan 135.5 berbanding 133.4 pada bulan yang sama tahun sebelumnya. Peningkatan ini didorong oleh inflasi lebih tinggi bagi kumpulan Penjagaan Diri, Perlindungan Sosial & Pelbagai Barangan & Perkhidmatan, 5.7 peratus; Pendidikan, 2.8 peratus; Minuman Alkohol & Tembakau, 2.5 peratus; Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain, 0.9 peratus; Maklumat & Komunikasi, 0.9 peratus; Hiasan, Perkakasan & Penyelenggaraan Isi Rumah, 0.3 peratus dan Pakaian & Kasut, 0.1 peratus.
Namun begitu, kumpulan Pengangkutan, 0.1 peratus; Rekreasi, Sukan & Kebudayaan, 0.8 peratus dan Restoran & Perkhidmatan Penginapan, 3.1 peratus merekodkan peningkatan lebih perlahan pada Disember 2025 berbanding bulan sebelumnya. Selain itu, Insurans & Perkhidmatan Kewangan (5.6%); Makanan & Minuman (1.5%) dan Kesihatan (1.5%) kekal pada kadar yang sama direkodkan pada November 2025.
Lima negeri merekodkan peningkatan melebihi paras inflasi nasional (1.6%) iaitu Johor (2.3%), Negeri Sembilan (2.2%), Pahang (1.8%), Wilayah Persekutuan Labuan (1.8%) dan Selangor (1.7%). Manakala, baki 11 negeri meningkat di bawah dan sama dengan kadar inflasi nasional dengan Kelantan merekodkan inflasi terendah (0.5%) pada Disember 2025.
Inflasi keseluruhan secara bulanan pada Disember 2025 mencatatkan peningkatan pada 0.3 peratus berbanding November 2025 (0.0%). Ini berikutan kumpulan Maklumat & Komunikasi (0.6%) dan Makanan & Minuman (0.4%) yang merekodkan kenaikan lebih tinggi berbanding bulan sebelumnya. Selain itu, kumpulan Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain; Kesihatan dan Pengangkutan yang masing-masing meningkat kepada0.2 peratus turut mencatatkan trend yang sama pada Disember 2025.
Inflasi tahunan 2025 mencatatkan 1.4 peratus pada kadar lebih perlahan berbanding 1.8 peratus pada tahun 2024. Ini disumbangkan oleh peningkatan perlahan Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain, 1.6 peratus (2024: 3.0%); Kesihatan, 1.2 peratus (2024: 1.8%); Rekreasi, Sukan & Kebudayaan, 1.1 peratus (2024: 1.8%); Pengangkutan, 0.4 peratus (2024: 1.0%) dan Hiasan, Perkakasan & Penyelenggaraan Isi Rumah, 0.2 peratus (2024: 0.7%). Kumpulan Maklumat & Komunikasi dan Pakaian & Kasut mencatatkan penurunan pada negatif 4.3 peratus dan negatif 0.2 peratus pada tahun 2025. Namun begitu, terdapat kumpulan yang meningkat lebih tinggi pada tahun 2025 seperti Penjagaan Diri, Perlindungan Sosial & Pelbagai Barangan & Perkhidmatan (4.4%); Insurans & Perkhidmatan Kewangan (3.4%); Restoran & Perkhidmatan Penginapan (3.2%); Pendidikan (2.3%) dan Makanan & Minuman (2.1%).
Bagi perbandingan inflasi dengan negara-negara terpilih, inflasi di Malaysia pada Disember 2025 (1.6%) adalah lebih rendah berbanding inflasi di Viet Nam (3.5%), Indonesia (2.9%) dan Republic of Korea (2.3%). Walau bagaimanapun, kadar tersebut lebih tinggi berbanding China (0.8%) dan Thailand (-0.3%).
Sumber: Jabatan Perangkaan Malaysia



