Dunia pekerjaan pada hari ini bukan sahaja menuntut kompetensi teknikal tetapi juga kemahiran sosial dan emosi yang tinggi. Salah satu cabaran utama dalam persekitaran kerja masa kini ialah kehadiran individu narsistik iaitu mereka yang menunjukkan ciri egosentrisme, keperluan berlebihan untuk pengiktirafan, dan kurang empati terhadap rakan sekerja. Secara psikologinya, kehadiran golongan narsistik boleh menyebabkan tekanan emosi, konflik interpersonal dan penurunan produktiviti dalam organisasi.
Narsistik kebanyakannya lahir daripada keluarga yang bermasalah dan kurang kasih sayang kedua ibubapa sejak kecil. Apabila meningkat dewasa dan memasuki alam pekerjaan, mereka cenderung menonjolkan tingkah laku narsistik sebagai mekanisme pertahanan diri dan penegasan keunggulan (self-assertion). Justeru itu, jika mereka melihat ada pekerja lain yang lebih sempurna daripada mereka. Mereka seolah-olah terancam dan mula bersikap narsistik dengan self-enhancement strategies untuk menegaskan nilai diri dan mengimbangi kekurangan perhatian sewaktu membesar.
Individu narsistik cenderung memanipulasi situasi untuk keuntungan mereka dengan mendapat kredit daripada hasil kerja orang lain. Situasi ini meningkatkan risiko burnout, kebimbangan, dan ketidakpuasan hati di kalangan pekerja lain terutamanya mereka yang mempunyai sifat empati atau kepekaan sosial yang tinggi. Oleh itu, keselamatan di tempat kerja bukan sekadar soal fizikal tetapi juga keselamatan mental dan emosi.
Organisasi yang proaktif akan menyedari risiko ini dan membangunkan sistem sokongan psikologi, polisi anti-buli, dan latihan pengurusan konflik. Langkah ini penting untuk memastikan setiap pekerja dapat mengekalkan kesejahteraan psikologi mereka. Selain itu, pekerja perlu mengembangkan kemahiran kecerdasan emosi, batasan diri dan komunikasi tegas agar dapat menghadapi interaksi dengan individu narsistik secara konstruktif. Dunia pekerjaan mungkin tidak sempurna, tetapi dengan persiapan yang tepat, ia tetap selamat untuk pembelajaran, pembangunan diri dan pencapaian profesional.
Sumber: Dewan Budaya (DBP)



