PEMBINAAN MENARA TELEKOMUNIKASI TIDAK JEJAS NILAI HARTANAH

Asahan – Pembinaan menara telekomunikasi di Kampung Jus Permai, di sini, tidak akan menjejaskan nilai hartanah di kawasan tersebut, kata Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan.

Jelas beliau, perkara itu disahkan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta Negeri Melaka yang menjelaskan tiada bukti menunjukkan nilai hartanah akan menyusut daripada pembinaan infrastruktur itu.

Justeru, Fairul Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asahan berharap masyarakat tidak bimbang atau risau berhubung perkara tersebut memandangkan pembinaan menara telekomunikasi itu sebaliknya akan memberi lebih nilai tambah kepada masyarakat, khususnya dalam dunia digital masa kini.

“Memang antara aduan yang disenaraikan adalah berkait dengan nilai hartanah menyusut dan sebab itulah kita membawa Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta untuk memberi penjelasan kepada masyarakat.

“Jadi jelas dimaklumkan bahawa buat masa ini tiada apa-apa bukti mengaitkan bahawa nilai hartanah akan susut dan sebagainya.

“Sebaliknya, menara ini akan memberi nilai tambah untuk masyarakat memandangkan ia bakal membantu liputan telekomunikasi dan capaian internet lebih baik kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita Sesi Libat Urus Kedua Pembinaan Struktur Telekomunikasi di Kampung Jus Permai yang diadakan di Surau An-Nur Kampung Jus Permai, di sini, semalam.

Hadir sama, Pegawai Daerah Jasin Datuk Rahizi Ranom; Ketua Pegawai Eksekutif Melaka ICT Holdings Sdn Bhd (MICTH) Dr. Nazdiana Ab Wahab; Ketua Pegawai Operasi MICTH Mohd Jailani Deraman serta Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) Negeri Melaka Syed Isa Syed Shekh Alsagoff.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta Melaka Sr. Shaharun Kassim; Pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektronik dan Kompiter Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) Prof Madya Dr. Imran Ibrahim serta lain-lain kenamaan.

Dalam pada itu, Fairul Nizam juga meminta semua pihak agar menyokong pembinaan struktur telekomunikasi di kawasan itu memandangkan manfaatnya cukup besar bukan hanya kepada penduduk, malah untuk pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) berhampiran.

“Justeru, saya berharap tiada kacau ganggu daripada pihak tertentu akan berlaku daripada pembinaan menara telekomunikasi ini dan saya yakin masyarakat di kawasan ini sudah mula memahami kepentingan infrastruktur yang sedang dibina,” katanya.

Sumber : Melaka Hari Ini (MHI)

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …