MELAKA PERHEBAT AGENDA SUKAN, PERUNTUK RM10.9 JUTA PERKASA FASILITI

Bandaraya Melaka – Kerajaan Negeri komited memartabatkan agenda sukan sebagai satu gerakan rakyat yang mampu mengharumkan nama negeri ke arah kecemerlangan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, sukan tidak lagi dilihat sekadar temasya tahunan sebaliknya menjadi medium penting untuk membina jati diri, perpaduan serta melahirkan bakat-bakat sukan di peringkat lebih tinggi.

“Seiring komitmen itu Kerajaan Negeri dalam pembentangan Bajet Negeri Melaka 2026 memperuntukkan sebanyak RM10.9 juta bagi memperkasakan fasiliti serta membangunkan infrastruktur sukan baharu di seluruh negeri.

“Antara inisiatif dirancang, menaik taraf Dewan Badminton Majlis Sukan Negeri (MSN), menambah baik kemudahan fasiliti sukan sedia ada, pembinaan baharu lapang sasar memanah di Ayer Keroh serta pembaikan kemudahan sukan komuniti di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Sukan Melaka 2025 Peringkat Negeri Melaka Piala YAB Ketua Menteri Melaka, bersempena Perlawanan Akhir Bola Sepak di Stadium Hang Tuah, di sini, malam tadi.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Ab Rauf menegaskan, peruntukan dan pelaksanaan projek sukan itu adalah sebahagian daripada agenda Kerajaan Negeri dalam memperkukuh ekosistem sukan secara menyeluruh.

“Melangkah ke hadapan, kita mahu melihat setiap kampung mempunyai gelanggang sendiri, setiap taman melahirkan wakil pasukan masing-masing dan setiap DUN mencipta bintang sukan yang mampu mengibarkan bendera Melaka di pentas kejohanan.

“Saya juga berharap kejayaan diraih para peserta Sukan Melaka 2025 menjadi titik permulaan untuk terus mengorak langkah, sekali gus menjadi pemangkin kepada kemajuan industri sukan negeri ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Sumber : Melaka Hari Ini (MHI)

Artikel/Berita Terkini

PERLUASAN KUGGP DICADANG MELIPUTI TUARAN

TINJAU: Jafry Membuat Tinjauan Semasa Di Majlis Itu.  TUARAN: Kerajaan negeri sedang meneliti cadangan untuk memperluaskan Kinabalu UNESCO Global Geopark …

12 DITAHAN, SINDIKET TIPU BOMOH CINA RUGIKAN MANGSA RM600,000

MOHD AZHAR  KOTA KINABALU: Sindiket ‘bomoh Cina’ yang menawarkan khidmat rawatan tradisional dan upacara keagamaan bagi menghindarkan perkara yang dipercayai …

SIRI TRIVIA HARI KEBANGSAAN 2026 | PANDUAN PENGGUNAAN DAN PENGGANTUNGAN JALUR GEMILANG

Mengibarkan Jalur Gemilang bukan sekadar mencipta suasana sambutan, tetapi merupakan tanda hormat, cinta dan setia kepada tanah air. Ramai yang …