TINJAU: Jamawi (dua kiri) semasa membuat tinjauan dalam program berkenaan.
KOTA KINABALU: Brosur Agropelancongan ‘Pengalaman Ladang Sabah yang Unik 2026–2027’ (Jilid 2) berperanan sebagai road map baharu untuk mempromosikan pelancongan luar bandar Sabah.
Menteri Pertanian, Makanan dan Industri Perikanan, Datuk Jamawi Jaffar berkata, brosur itu bukan sekadar risalah, tetapi panduan komprehensif yang menghubungkan pelancong dengan nadi sebenar sektor pertanian negeri.
Melalui penerbitan itu katanya, pelancong domestik dan antarabangsa berpeluang meneroka lebih jauh daripada bandar dan pantai, termasuk melawat kebun, bertemu petani serta menyelami kehidupan luar bandar yang menjadi teras identiti Sabah.
“Penerbitan ini akan membantu memupuk penghargaan lebih mendalam terhadap sumber makanan dan hasil pertanian negeri, sekali gus mewujudkan pengalaman perjalanan yang lebih bermakna,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Bazar Pelancongan Durian Sabah 2025 dan pelancaran Brosur Agropelancongan ‘Pengalaman Ladang Sabah yang Unik 2026–2027’ (Jilid 2), di sini hari ini.
Jamawi berkata, brosur ini juga menjadi platform promosi penting bagi petani dan usahawan agro kerana membuka laluan kepada pasaran baharu serta menjana pendapatan mampan melalui sektor pelancongan.
Beliau merakamkan penghargaan kepada Persatuan Penanam Durian dan Buah Tropika Sabah (MaSDa), Tourism Malaysia Sabah, Sabah Tourism dan FAMA Sabah atas kerjasama yang membuktikan sinergi antara pertanian dan pelancongan mampu mengangkat hasil tempatan ke peringkat global.
Beliau turut menyeru seluruh daerah, persatuan pertanian dan penggiat industri pelancongan supaya memperbanyakkan produk agropelancongan unik mengikut kekuatan lokaliti masing-masing.
“Sama ada di tanah tinggi Kundasang, ladang koko di Tawau atau kampung nelayan di Pantai Timur, setiap lokasi mempunyai kisah dan pengalaman tersendiri yang boleh ditonjolkan kepada dunia,” katanya.
Jamawi juga menggalakkan pengunjung merasai sendiri keunikan hasil pertanian negeri sambil menghargai usaha petani yang membawa hasil terbaik mereka ke bazar.
Beliau yakin masa depan agropelancongan Sabah cerah dan penuh potensi, sekali gus menuntut semua pihak menjadi penjaga tanah serta warisan pertanian.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



