RUANG DAYA CIPTA MELAKA SEDIA LATIHAN AI, TEKNOLOGI PERCUMA

Bandaraya Melaka – Penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam pemasaran dan pembelajaran perlu dilaksanakan secara beretika dan tersusun, bukan sekadar mengikut trend semata-mata.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Inovasi Malaysia Dr. Sharmila Mohamed Salleh berkata, penggunaan AI tanpa panduan jelas boleh membawa kepada salah guna teknologi dan menjejaskan keberkesanan proses pembelajaran serta pemasaran.

“AI tidak boleh digunakan secara sembarangan hanya kerana ia sedang menjadi trend, pengguna perlu memahami tatacara dan tujuannya supaya lebih tersusun dan berfokus.

“Penggunaan yang tidak terkawal boleh memberi kesan negatif termasuk daripada segi etika dan ketepatan maklumat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Ruang Daya Cipta (RDC) di Kolej Antarabangsa Sains & Teknologi Melaka (MiCoST), Wisma Yayasan Melaka, Jalan Hang Tuah, di sini, semalam yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan, barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Dr. Sharmila menjelaskan RDC berperanan sebagai platform mendidik masyarakat menggunakan teknologi secara betul, termasuk dalam bidang pemasaran digital, reka bentuk, pencetakan 3D dan automasi.

“Dalam konteks pemasaran, AI boleh memudahkan kerja tetapi pengguna perlu tahu had dan tanggungjawab mereka. Kita tidak mahu teknologi digunakan tanpa kawalan sehingga memberi kesan kepada pengguna lain,” katanya.

Menurut beliau, pendekatan latihan di RDC dilaksanakan secara praktikal dan mudah difahami bagi memastikan peserta benar-benar menguasai teknologi yang dipelajari.

“Setakat ini sebanyak 24 pusat RDC telah dibangunkan di seluruh negara dan Selangor adalah lokasi terbaru untuk memperluas akses latihan teknologi kepada masyarakat.

“Semua latihan dan penggunaan fasiliti di RDC adalah percuma sepenuhnya dan terbuka kepada pelajar serta orang awam,” katanya.

Sumber : Melaka Hari Ini (MHI)

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …