TINJAU: Ewon (dua kanan) ketika membuat lawatan ke tapak projek Jambatan Timpangoh-Babagon di Penampang hari ini.
PENAMPANG: Projek Jambatan Timpangoh-Babagon yang berjaya disiapkan tujuh bulan lebih awal daripada jadual asal disifatkan sebagai satu pencapaian cemerlang.
Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick berkata, kejayaan kontraktor yang dilantik menyiapkan projek itu harus dijadikan tanda aras baharu bagi pelaksanaan projek infrastruktur di Sabah.
Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, berkata, projek bernilai RM16.7 juta itu mula dilaksanakan pada Julai 2024 dan sepatutnya siap pada Julai 2026.
Namun jelasnya, kini projek berkenaan hampir siap sepenuhnya dan dijangka siap pada Disember tahun ini.
“Saya dimaklumkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah projek ini siap tujuh bulan lebih awal dan ini satu pencapaian luar biasa.
“Ia harus dijadikan contoh kepada kontraktor lain dalam melaksanakan projek fizikal seperti jambatan, bangunan atau jalan raya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke tapak projek Jambatan Sungai Bahagon/Timpangoh, di sini, hari ini.
JAMBATAN: Projek Jambatan Timpangoh-Babagon di Penampang dijangka siap tujuh bulan lebih awal.
Ewon berkata, pelaksanaan projek yang lewat dan bermasalah sering memberi kesan kepada rakyat.
“Justeru, kejayaan Projek Jambatan Timpangoh-Babagon perlu menjadi motivasi dan penanda aras baharu dalam pengurusan serta pelaksanaan projek infrastruktur di negeri ini.
“Projek seperti ini membuktikan dengan perancangan yang baik, penyeliaan berkesan dan kerjasama semua pihak, projek infrastruktur boleh disiapkan lebih awal daripada jadual, sekali gus memberi manfaat segera kepada rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Ewon turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) atas penyaluran peruntukan bagi projek itu yang bakal memberi manfaat kepada kira-kira 6,000 penduduk di kawasan mukim berkenaan.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada JKR Sabah, Majlis Perbandaran Penampang serta kontraktor yang melaksanakan projek ini dengan penuh komitmen dan cemerlang.
“Ini satu teladan yang harus diikuti oleh semua pihak terlibat dalam projek kerajaan, bukan sahaja di Sabah tetapi juga di seluruh negara,” katanya.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



