TANGKAP: Antara vesel nelayan yang diperiksa dan ditahan selepas didapati langgar syarat lesen.
LAHAD DATU: Dua vesel nelayan tempatan yang dikendalikan warga Filipina ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas didapati melanggar syarat lesen ketika beroperasi di perairan Tabawan, Kunak, semalam.
Kedua-dua vesel berkenaan ditahan kira-kira jam 5 petang oleh sepasukan anggota bot ronda Maritim yang menjalankan Op Pluto Timur 2/2023 dan Op Tiris 3.0 di perairan berkenaan.
Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali, berkata sebuah vesel pukat keliling dikendalikan seorang lelaki warga Filipina berusia 43 tahun bersama hasil tangkapan ikan campur seberat 10 kilogram telah diperiksa.
“Sebuah lagi vesel dikendalikan tiga warga Filipina berusia antara 16 hingga 30 tahun dengan hasil tangkapan kira-kira lapan kilogram turut diperiksa
“Semua kru vesel nelayan terbabit didapati memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kedua-dua vesel berkenaan melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan kurang daripada 1.5 batu nautika dari daratan terdekat.
“Kes turut disiasat mengikut Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah kerana gagal memaklumkan pertukaran tekong seperti yang disyaratkan dalam lesen bot.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pengusaha vesel nelayan yang ingkar syarat lesen, khususnya mereka yang beroperasi di zon larangan,” katanya.
Beliau berkata, peraturan jarak operasi itu ditetapkan bagi memelihara ekosistem marin serta memastikan sumber perikanan negara kekal mampan.
Dzulfikhar berkata, kedua-dua vesel bersama kru dan hasil tangkapan dibawa ke Jeti Zon Maritim Lahad Datu untuk siasatan lanjut.
“Maritim Malaysia menyeru komuniti maritim supaya sentiasa mematuhi undang-undang laut terutamanya ketika menjalankan aktiviti menangkap ikan.
“Orang ramai diminta supaya menyalurkan sebarang maklumat atau aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa melalui aplikasi WhatsApp di talian 016-930 5727 atau talian kecemasan 999 bagi tindakan segera,” katanya.
#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



