ππ¨πππ π§ππ₯ππ‘ππππ‘π¨ – Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Terengganu telah melaksanakan Operasi Sapu, Operasi Kutip dan Operasi Dandan di sekitar daerah Kuala Terengganu dan Dungun bermula jam 10.00 pagi hingga selesai.
Operasi ini dilaksanakan bagi mengesan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang melanggar undang-undang imigresen, hasil risikan dan pemantauan berterusan pegawai penguatkuasa.
Sebanyak tiga premis diperiksa melibatkan 11 individu pelbagai warganegara termasuk Malaysia, Bangladesh, Pakistan dan China. Hasil pemeriksaan, seramai tujuh lelaki warga asing berumur antara 22 hingga 45 tahun telah ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Tangkapan dilakukan di tiga lokasi iaitu tapak pembinaan jambatan di Kawasan Perindustrian Batu 7, Dungun (tiga tangkapan warga Bangladesh), kawasan tepi jalan berhampiran lokasi yang sama (dua tangkapan warga Bangladesh), serta di sebuah kedai gunting rambut di Kompleks Taman Selera Tanjung, Kuala Terengganu (dua tangkapan warga Pakistan).
Kesalahan yang dikesan termasuk tinggal melebihi tempoh pas di bawah Seksyen 15(1)(c), tidak memiliki pas atau permit sah di bawah Seksyen 6(1)(c) dan melanggar syarat pas di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Seorang individu tempatan turut diberikan notis hadir ke Pejabat Penguatkuasa JIM Terengganu bagi membantu siasatan lanjut. Semua tahanan telah dihantar ke Depot Imigresen Ajil untuk tindakan lanjut.
Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Terengganu akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan di seluruh negeri bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terpelihara daripada ancaman PATI.
Sumber: Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Terengganu



