Bermula dengan panggilan Minggu Bahasa Kebangsaan dan Bulan Bahasa Kebangsaan sepanjang dekad 60-an. Kempen ini telah melalui perubahan pelbagai nama seperti Gerakan Cintailah Bahasa Kita (GCBK) (1987-1996),Gerakan Bahasa Kebangsaan Sektor Swasta (GBKSS) (1996-2005) dan Minggu Sastera (1987-1998).Akhirnya pada tahun 1999, gerakan ini dinamakan Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN).
Program BBSN yang pertama telah dilancarkan pada tahun 1999 oleh YAB Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia ketika itu. Pada tahun 2009, bersesuaian dengan matlamat pelaksanaannya, BBSN telah dikenali dengan nama Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK).
Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) disambut pada setiap bulan Oktober sebagai usaha berterusan untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan lambang jati diri bangsa. Sambutan ini merupakan manifestasi kepada Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, sekali gus mengingatkan rakyat agar terus menghargai dan menggunakan bahasa ini dalam semua bidang kehidupan.
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memainkan peranan utama dalam menyelaras pelbagai aktiviti sempena BBK dengan kerjasama kementerian, agensi kerajaan, institusi pendidikan, pertubuhan bukan kerajaan dan pihak swasta. Antara program yang dijalankan termasuklah forum bahasa, bengkel penulisan, pertandingan pidato, deklamasi puisi, pameran warisan bahasa serta program komuniti seperti Singgah Bahasa Jiwa Bangsa dan Ziarah Bahasa. Semua aktiviti ini bertujuan untuk menarik minat masyarakat terhadap penggunaan bahasa Melayu secara kreatif dan meluas.
Pelancaran BBK 2025 akan diadakan pada 12 Oktober di Pusat Konvensyen Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Taman Melawati. Sambutan ini turut menjadi kemuncak kepada pelaksanaan Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) 2020–2030, yang menekankan kesinambungan usaha memperkasa bahasa Melayu dalam bidang pendidikan, pentadbiran, sains dan teknologi.
Melalui inisiatif ini, diharapkan seluruh rakyat Malaysia akan terus menggunakan bahasa Melayu dengan bangga dan yakin. Bahasa Melayu bukan sekadar alat komunikasi, tetapi juga simbol perpaduan, maruah dan identiti negara yang harus dipelihara sepanjang zaman.
Sumber: Dewan Bahasa dan Pustaka



