KERAJAAN NEGERI PERKASA INDUSTRI HALAL SABAH

HAJIJI

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri komited memperkasakan industri halal sebagai salah satu sektor berpotensi besar untuk menjana ekonomi negeri, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada usahawan tempatan menembusi pasaran antarabangsa.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, industri halal kini berkembang pesat dengan nilai dagangan global mencecah berbilion dolar dan menjadi penyumbang utama dalam perdagangan antarabangsa.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak, kerajaan negeri, agensi berkaitan, sektor swasta dan komuniti usahawan agar berganding bahu memperkukuh ekosistem industri halal di Sabah.

“Industri halal hanya akan berjaya jika kita bergerak bersama. Dengan adanya sokongan menyeluruh, produk usahawan Sabah berpotensi besar menembusi pasaran luar negara,” katanya ketika melancarkan Program MyHalal Day Sabah 2025 di sini pada Ahad.

Ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Dr. Haji Mohd Arifin Mohd Arif.

Menurutnya, kerajaan negeri melalui Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas) dengan kerjasama Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) menyediakan peruntukan sebanyak RM5,000 kepada usahawan kotej dan mikro.

Hajiji berkata, bantuan ini disalurkan dalam bentuk peralatan asas bagi meningkatkan operasi perniagaan, namun usahawan yang berminat perlu terlebih dahulu mengikuti Kursus Pengendalian Makanan Dalam Islam yang dikendalikan MUIS Halal Hub.

“Pensijilan halal bukan sahaja lambang kualiti, kebersihan dan integriti produk, malah ia kunci utama untuk menembusi pasaran halal yang semakin berkembang sama ada di Sabah, Malaysia mahupun di peringkat antarabangsa.

“Dengan menyertai industri halal, usahawan dapat meningkatkan kemampuan mereka untuk bersaing di peringkat global. Justeru, industri halal di Sabah khususnya membabitkan pengusaha IKS akan terus diperkasa dan terpelihara menerusi MUIS Halal Hub”, katanya.

Beliau berharap program MyHalal Day melahirkan lebih ramai usahawan halal yang berdaya saing, serta mengangkat nama Sabah sebagai antara pemain utama dalam industri halal serantau.

Menurut Hajiji, penganjuran MyHalal Day yang berlangsung selama tiga hari sejak Jumaat lalu memberi manfaat besar kepada usahawan melalui pelbagai pengisian, antaranya klinik halal, kursus pengendalian makanan, ceramah digital halal, serta perkongsian perbankan mengenai bantuan pensijilan halal.

“Program sebegini meningkatkan kesedaran usahawan untuk memohon sijil halal dan melengkapkan mereka dengan pengetahuan asas bagi memperkukuh daya saing produk,” jelasnya.

 

#MalaysiaMadani
#MADANIBekerja
#RancakkanMADANI
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

 

Artikel/Berita Terkini

PERLUASAN KUGGP DICADANG MELIPUTI TUARAN

TINJAU: Jafry Membuat Tinjauan Semasa Di Majlis Itu.  TUARAN: Kerajaan negeri sedang meneliti cadangan untuk memperluaskan Kinabalu UNESCO Global Geopark …

12 DITAHAN, SINDIKET TIPU BOMOH CINA RUGIKAN MANGSA RM600,000

MOHD AZHAR  KOTA KINABALU: Sindiket ‘bomoh Cina’ yang menawarkan khidmat rawatan tradisional dan upacara keagamaan bagi menghindarkan perkara yang dipercayai …

SIRI TRIVIA HARI KEBANGSAAN 2026 | PANDUAN PENGGUNAAN DAN PENGGANTUNGAN JALUR GEMILANG

Mengibarkan Jalur Gemilang bukan sekadar mencipta suasana sambutan, tetapi merupakan tanda hormat, cinta dan setia kepada tanah air. Ramai yang …