LELAKI NIGERIA DIDAKWA MILIKI KAD ATM WANITA TEMPATAN

Seorang lelaki warga Nigeria didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas pertuduhan memiliki kad mesin juruwang automatik (ATM) seorang wanita tempatan dan tinggal selepas tamat tempoh sah di negara ini.

Tertuduh, Udoh Imeh, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi kedua-dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli.

Mengikut pertuduhan di bawah Seksyen 424A Kanun Keseksaan, tertuduh telah memiliki satu kad ATM Maybank milik seorang wanita tempatan berusia 44 tahun dengan maksud untuk menghalang atau mengecewakan pemilik sebenar daripada mendapat haknya. Kesalahan itu dilakukan pada 8 September 2025 jam lebih kurang 2.20 petang di Pangsapuri Desa Palma, Nilai.

Sabit kesalahan boleh didenda minimum RM5,000 dan maksimum RM50,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Tertuduh juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tinggal di negara ini selepas tamat tempoh pas lawatan sosial tanpa sebarang pas atau permit yang sah pada 12 September 2025.

Berikutan itu tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1) Akta Imigresen 1959/63 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 15(4) akta sama. Sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM10,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Menurut Peguam, Renalyn Rivera, anak guamnya tidak bercadang memohon jaminan setakat ini sehingga pasportnya diperolehi. Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes 29 Oktober ini.

Dua rakan tertuduh iaitu Hendry Chinonso Udemba,39 yang juga warga Nigeria dan Eric Onumah,49, warga Ghana pula didenda RM10,000 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan tinggal di negara ini selepas tamat tempoh pas lawatan sosial pada tarikh sama dengan Udoh. Sekiranya mereka gagal menjelaskan denda tersebut boleh dipenjara enam bulan.

Peguam, Christopher Joseph yang mewakili kedua-dua tertuduh merayu hukuman denda yang rendah kerana mereka telah berkahwin dan mempunyai tanggungan dua anak. Pengakuan salah tertuduh telah dibuat dengan rela hati dan telah menjimatkan masa semua pihak. Pendakwaan dikendalikan, Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nur Aqilah Syarfa Nik Zaidi dan Norshafatihah Nor Azmi.

Sumber: Sinar Harian

Artikel/Berita Terkini

PERSEDIAAN HADAPI MONSUN TIMUR LAUT 2025/2026

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) memaklumkan bahawa Monsun Timur Laut 2025/2026 dijangka bermula pada Khamis, 13 November 2025 dan berterusan …

PERKHIDMATAN KAUNTER JPJ MOBLIE

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2021-2025 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi) 𝗣𝗲𝗿𝗸𝗵𝗶𝗱𝗺𝗮𝘁𝗮𝗻 𝗞𝗮𝘂𝗻𝘁𝗲𝗿 …

TUMPAS SINDIKET PENGEDARAN DADAH

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2021-2025 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi) Ketua Polis …