1,087 CERUN DI SELURUH MALAYSIA DIKATEGORIKAN BERISIKO

KUALA LUMPUR, 19 Sept: Sebanyak 1,087 cerun daripada 34,400 di seluruh negara dikenal pasti sebagai berisiko dan kini diletakkan di bawah pemantauan rapi Bilik Gerakan Bencana (BiGBen) Jabatan Kerja Raya (JKR), menjelang musim Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, cerun-cerun tersebut merangkumi 1,066 lokasi di Semenanjung, tujuh di Sabah, satu di Sarawak, serta 13 di Wilayah Persekutuan Labuan.

“Sistem BiGBen memantau semua kategori cerun dengan sokongan teknologi terkini termasuk kecerdasan buatan… Big Ben berperanan penting dalam kesiapsiagaan menghadapi bencana.

“Diharapkan lebih banyak aspek teknologi akan digunakan untuk penambahbaikan sistem ini,” katanya selepas menghadiri program kesiapsiagaan Kementerian Kerja Raya dalam menghadapi Monsun Timur Laut 2025 di BiGBen JKR di sini hari.

Menurut beliau, BiGBen berfungsi memantau insiden bencana seperti banjir, tanah runtuh, jalan mendap dan kerosakan jambatan secara hampir masa nyata, dengan input diterima daripada pegawai-pegawai JKR di seluruh negara.

Maklumat itu dedahnya bukan sahaja digunakan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), kerajaan negeri dan pejabat daerah, tetapi juga boleh diakses oleh orang awam melalui aplikasi mudah alih eBencana.

Nanta memberitahu pengguna juga boleh mengetahui status jalan ditutup penuh atau separa serta laluan alternatif.

Beliau berkata bagi bencana di Sabah, JKR telah menghantar pegawai teknikal ke lokasi untuk memberi khidmat nasihat teknikal selain bekerjasama dengan JKR Sabah dan pihak berkuasa negeri.

“Setakat ini, terdapat 10 kes cerun dikenal pasti di Jalan Persekutuan di Sabah… anggaran kos kerosakan keseluruhan masih dikumpul kerana keadaan masih berlaku.

“Kita tidak mahu sebut angka sementara yang mungkin berubah… jika dana dalaman tidak mencukupi, permohonan akan diajukan kepada Kementerian Kewangan,” katanya.

Sementara itu, JKR dalam kenyataan memaklumkan agensi tersebut telah membuat persiapan rapi bagi menghadapi musim bencana dengan menyediakan 238.7 meter Jambatan Bailey untuk kegunaan kecemasan di tujuh stor.

“Antaranya stor di Bahagian Jalan JKR Kedah, JKR Daerah di Temerloh, Pahang; Kuala Pilah, Negeri Sembilan; Johor Bahru, Johor; Petaling, Selangor dan Kinta di Perak manakala Jajahan Machang di Kelantan.

“Selain itu, Melaka dan Terengganu juga telah melaksanakan perolehan Jambatan Bailey menggunakan peruntukan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) tahun 2025 bagi tujuan kesiapsiagaan bencana dan keperluan kecemasan,”- BERNAMA

Artikel/Berita Terkini

PERLUASAN KUGGP DICADANG MELIPUTI TUARAN

TINJAU: Jafry Membuat Tinjauan Semasa Di Majlis Itu.  TUARAN: Kerajaan negeri sedang meneliti cadangan untuk memperluaskan Kinabalu UNESCO Global Geopark …

12 DITAHAN, SINDIKET TIPU BOMOH CINA RUGIKAN MANGSA RM600,000

MOHD AZHAR  KOTA KINABALU: Sindiket ‘bomoh Cina’ yang menawarkan khidmat rawatan tradisional dan upacara keagamaan bagi menghindarkan perkara yang dipercayai …

SIRI TRIVIA HARI KEBANGSAAN 2026 | PANDUAN PENGGUNAAN DAN PENGGANTUNGAN JALUR GEMILANG

Mengibarkan Jalur Gemilang bukan sekadar mencipta suasana sambutan, tetapi merupakan tanda hormat, cinta dan setia kepada tanah air. Ramai yang …