JABATAN PERHUTANAN PAHANG BERI AKSES 63 ORANG ASLI MASUK HUTAN SIMPAN NEGERI TANPA PERMIT

Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) memperkenalkan kad pengenalan khas kepada 63 Orang Asli peserta program Buyback Guarantee bagi membolehkan mereka memasuki hutan simpan tanpa memerlukan permit. Inisiatif julung kali ini memudahkan peserta mengumpul benih pokok balak untuk disemai. Menurut Pengarah JPNP, Zainuddin Jamaluddin, kad tersebut dikeluarkan khusus kepada peserta di Pekan, Cameron Highlands dan Bentong yang terbukti berjaya menghasilkan pelbagai spesies anak pokok balak.

Daripada jumlah itu, 30 peserta berasal dari Kampung Terakit dan Kampung Rening, Cameron Highlands; 23 peserta dari Tasik Chini, Pekan; manakala 15 lagi dari Kampung Hulu Chemperoh, Janda Baik, Bentong. Setiap peserta disediakan tapak semaian di kampung masing-masing beserta tanah hitam, polibeg dan bimbingan teknik penyemaian. JPNP turut membeli semula anak benih yang berjaya ditanam.

Kad pengenalan ini diberi percuma dan wajib ditunjukkan kepada penguat kuasa sekiranya diperiksa. Peserta tetap boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 jika memasuki hutan tanpa kad. Program ini yang bermula sejak 2021 berjaya mengeluarkan anak pokok spesies bernilai seperti Merbau, Keruing, Meranti Tembaga, Merawan, Cengal dan Petai. Tahun lalu, sebanyak 79,718 anak pokok dibekalkan oleh peserta Tasik Chini dan Cameron Highlands, manakala 20,770 anak pokok dikeluarkan dalam tempoh lapan bulan tahun ini.

Zainuddin menegaskan sokongan kerajaan negeri melancarkan lagi program ini yang menjadi penyumbang utama bekalan anak pokok balak untuk projek penghijauan semula hutan. Sementara itu, seorang peserta, Hasam Ismail dari Tasik Chini berkata, kad ini memberi jaminan keselamatan dan meningkatkan semangat mereka untuk mencari lebih banyak benih pokok balak.

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …