Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Sembilan akan memfailkan permohonan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Syariah di sini berhubung keputusan pelepasan dan pembebasan terhadap mudir dan pengerusi sebuah madrasah berkaitan GISB Holding Sdn Bhd (GISBH) daripada pertuduhan menyebarkan ajaran salah, tahun lalu.
Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Sembilan, Raja Mazelan Raja Deraman berkata, pihak pendakwaan secara dasarnya menghormati keputusan yang telah dibuat, namun mengharapkan keputusan yang lebih wajar daripada beberapa sudut khususnya terhadap kesalahan yang dilakukan.
Jabatan ini akan memfailkan notis rayuan bagi merayu terhadap keputusan pelepasan dan pembebasan terhadap kedua-dua tertuduh bagi kesalahan Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992.Jabatan ini percaya rayuan yang akan dibuat nanti bakal mempertimbangkan keputusan yang lebih wajar daripada beberapa sudut khususnya terhadap kesalahan yang dilakukan.
Beliau berkata, mahkamah telah membuat keputusan tersebut di peringkat akhir kes pendakwaan pada Isnin lalu bagi tertuduh Zahanizam Rohan,52 dan Lutfi Mohamad Hamin, 59, Mengikut pertuduhan yang dibacakan berasingan, mereka didapati telah menyebarkan amalan Aurad Muhammadiah (zikir agung) yang berlawanan dengan hukum syarak kepada pelajar-pelajar di sebuah madrasah.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah madrasah di Kampung Ulu Beting, Kuala Pilah antara bulan Disember 2021 hingga September. Untuk rekod, Zahanizam turut didakwa mengajar agama tanpa tauliah di madrasah terbabit. Dia bagaimanapun mengaku bersalah di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Pilah atas kesalahan itu dan telah dijatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM2,000 oleh Hakim, Sabarudin Bidin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati telah mengajar agama Islam berkenaan dengan Tauhid kepada pelajar-pelajar di madrasah di Kampung Ulu Beting, Kuala Pilah tanpa tauliah daripada Jawatankuasa Tauliah yang ditubuhkan di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Sembilan 2003. Kesalahan itu dilakukan antara bulan Disember 2021 hingga September 2024.
Berikutan itu tertuduh telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 53 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 pindaan 2009 iaitu mengajar agama tanpa tauliah. Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak melebihi dua tahun atau denda tidak melebihi RM3,000 atau kedua-duanya.
Lutfi pula didenda RM1,700 oleh Mahkamah Tinggi Syariah atas pertuduhan menguruskan sekolah tanpa perakuan pendaftaran selepas mengaku bersalah atas kesalahan berkenaan. Mengikut pertuduhan Lutfi Mohamad didapati menguruskan sekolah Islam di Negeri Sembilan tanpa mendapatkan perakuan pendaftaran daripada Pendaftaran Sekolah Islam di bawah Seksyen 13 Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam 1996.
Mereka masing-masing menguruskan madrasah di Kampung Senama Hilir, Rembau antara Februari 2023 hingga September 2024 dan Kampung Beting Ulu, Kuala Pilah antara Disember 2021 hingga September 2024.
Berikutan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 22 Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam 1996 iaitu Menguruskan Sekolah Islam Tanpa Perakuan Pendaftaran. Sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.
Sumber: Sinar Harian



