USAHAWAN MAIM TERIMA ‘FOOD TRUCK’ BERAZAM KELUAR DARIPADA STATUS ASNAF

Bandaraya Melaka – Hidup sebagai usahawan asnaf penuh dengan cabaran, namun bagi Zulkifli Mohamed, 57, dari Klebang Besar, anugerah sebuah kenderaan saji (food truck) daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) umpama sinar dalam perjuangannya mengubah nasib keluarganya.

Zulkifli sebelum ini berniaga menggunakan kenderaan persendirian, mengakui perjalanan mencari rezeki tidak mudah, lebih-lebih lagi apabila terpaksa mengangkut khemah, payung dan peralatan perniagaan setiap kali keluar berniaga.

“Dulu, kalau berniaga di Klebang, saya terpaksa buka tempat duduk kereta untuk muatkan khemah dan barang-barang. Kalau hujan atau ribut, keadaan bertambah sukar kerana ruang dalam kereta akan basah.

“Syukur alhamdulillah, sekarang semua lebih mudah. Tidak perlu lagi punggah barang, boleh terus berniaga, lebih kemas dan teratur,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Zulkifli menerima bantuan itu menerusi Sumbangan Bantuan Peralatan Perniagaan dan Peningkatan Taraf Hidup Wakalah Permodalan Nasional Berhad (PNB) diuruskan oleh MAIM.

Dia sudah lebih tujuh tahun bergiat dalam perniagaan, bermula dengan menjual pelekat kereta sebelum membuka gerai jus minuman di bazar Ramadan setiap tahun.

Kini, dengan adanya kemudahan tersebut, dia merancang untuk mengusahakan perniagaan makanan ringan bergoreng seperti burger.

“Selama ini saya memang mengimpikan kenderaan sendiri untuk berniaga. Ini peluang yang sangat bermakna, bukan sekadar memudahkan perniagaan, tetapi juga memberi semangat untuk saya terus berusaha,” katanya.

Bapa kepada dua anak yang masih bersekolah itu berkata, isterinya, Rosmawati Mohamad Ali, 52, adalah suri rumah sepenuh masa dan menjaga ibu yang sakit.

Zulkifli mula berdaftar sebagai usahawan asnaf pada 2024 dan bertekad untuk keluar daripada status itu dalam tempoh dua tahun.

“Saya pernah maklumkan kepada wakil MAIM, jika dapat trak ini, saya akan usaha bersungguh-sungguh. Insya-Allah, dalam satu tahun setengah atau dua tahun, saya mahu keluar daripada status asnaf.

“Saya harap kisah ini dapat menjadi inspirasi kepada asnaf lain bahawa kita boleh mengubah hidup dengan usaha dan doa,” katanya lagi.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada MAIM dan PNB atas bantuan yang disalurkan dan berharap dapat terus maju dalam bidang perniagaan demi masa depan keluarganya.

Sumber : Melaka Hari Ini (MHI)

Artikel/Berita Terkini

TENTERA KHAS MALAYA DI CONGO KEMBALI KE TANAHAIR

Pada 16 April tahun 1962, seramai 916 orang pegawai dan anggota tentera khas Malaya yang berkhidmat di Congo selama lebih …

PERSIDANGAN PERSATUAN PARLIMEN NEGARA-NEGARA KOMANWEL

Pada 4 November dalam tahun 1963, DYMM Tuanku Syed Putra Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail, Yang di-Pertuan Agong berkenan mencemar …

PERSETUJUAN UNTUK MEMBENTUK BADAN PERUNDING MAPHILINDO

Pada 12 Jun dalam tahun 1963, Sidang Manila yang dihadiri oleh Menteri-menteri Luar Indonesia, Tanah Melayu dan Filipina telah mencapai …