Kerajaan Negeri Terengganu menubuhkan Pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR) Khas di Pulau Perhentian dan Pulau Lang Tengah, Setiu susulan beberapa insiden melibatkan keselamatan pelancong yang berlaku sejak akhir-akhir ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris, pasukan SAR khas tersebut akan beroperasi pada musim puncak kehadiran pelancong pada bulan Mac hingga Oktober setiap tahun.
Selain itu, pasukan SAR Khas tersebut diketuai oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan meliputi kawasan pulau peranginan sepanjang musim puncak kehadiran pelancong serta melibatkan kerjasama Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Laut, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Pejabat Daerah Besut.
Seterusnya, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu dan wakil pengusaha pelancongan serta komuniti setempat turut menyertai Pasukan SAR terbabit dan inisiatif penubuhan pasukan tersebut bagi memperketatkan aspek keselamatan pelancong di kawasan pulau, selain kesiapsiagaan menghadapi sebarang kemungkinan.
Sumber: KOSMO



