Ayer Keroh – Lebih 300 bekas ahli Global Ikhwan Sdn Bhd Holdings (GISBH) bakal menjalani program pemulihan akidah selama sembilan bulan bermula September ini.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, sepanjang tempoh itu juga kesemua mereka yang terdiri daripada pelbagai peringkat usia akan menjalani program rehabilitasi secara mingguan.
“Menerusi data lengkap diperoleh kita akan mengadakan program rehabilitasi dan pemulihan akidah untuk kesemua mereka ini. Program selama sembilan bulan ini dijadualkan seminggu sekali, diadakan di Kompleks Al-Azim, sekolah rendah agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) atau lokasi bersesuaian yang lain.
“Untuk pengetahuan, kesemua mereka amat memberikan kerjasama selain benar-benar mahukan program ini diadakan,” katanya.
Terdahulu, Rahmad yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) hadir ke Majlis Makan Malam bersama bekas ahli GISBH Melaka berlangsung di sebuah hotel, di sini, semalam.
“Dimaklumkan antara kesulitan lain dialami adalah hilang mata pencarian selepas premis tempat mereka bekerja sebelum ini terpaksa dihentikan operasi. Disebabkan itu kita bukan sahaja membimbing mereka daripada aspek akidah tetapi membantu mencari jalan keluar bagi masalah dihadapi.
“Sekiranya layak mereka boleh memohon bantuan daripada MAIM atau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), malah mereka juga boleh memohon mendapatkan bantuan persekolahan,” katanya.
Jelasnya, setakat ini dimaklumkan tiada anak-anak bekas ahli GISBH di Melaka ini yang tercicir daripada mendapat pelajaran, selain itu mereka yang berkahwin turut melakukan pendaftaran secara sah termasuk yang berpoligami.
Sumber : Melaka Hari Ini (MHI)



