Sepasukan pegawai dari Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Terengganu telah melaksanakan Ops Sapu melibatkan pemeriksaan di tiga buah tapak pembinaan di Hulu Terengganu dan Kemaman pada 19 Ogos lalu, bermula jam 8.30 pagi hingga 6.00 petang. Operasi ini disertai oleh 17 orang pegawai pelbagai pangkat.
Sebanyak tiga buah premis diperiksa dengan jumlah 63 individu terdiri daripada warga tempatan dan asing. Hasil pemeriksaan mendapati seramai 24 orang warganegara asing berusia antara 21 hingga 47 tahun ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63. Pecahan tangkapan adalah 19 warga Bangladesh, tiga warga Indonesia, seorang warga Pakistan dan seorang warga Myanmar.
Bagi lokasi pertama di sebuah tapak pembinaan di Ajil, Hulu Terengganu, sebanyak 12 individu diperiksa dan tiga warga Indonesia ditahan. Di lokasi kedua iaitu tapak pembinaan rumah kediaman di Kertih, Kemaman, enam individu diperiksa dan seorang warga Bangladesh ditahan. Sementara itu, di lokasi ketiga iaitu tapak pembinaan di Jalan Lapangan Terbang, Kerteh, Kemaman, seramai 45 individu diperiksa dan 20 orang warganegara asing ditahan melibatkan 18 warga Bangladesh, seorang warga Pakistan dan seorang warga Myanmar.
Kesemua tahanan telah dihantar ke Depot Imigresen Ajil untuk siasatan dan tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang. Dua notis saman saksi turut dikeluarkan kepada warga tempatan bagi membantu siasatan.
Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Terengganu akan terus melaksanakan operasi secara berterusan bagi memastikan kedaulatan negara sentiasa terpelihara. Orang awam juga digalakkan untuk menyalurkan maklumat berkaitan PATI kepada pihak berkuasa.
Sumber: Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Terengganu



