MARITIM MALAYSIA RAMPAS DADAH BERNILAI RM1.9 JUTA DALAM BOT HANYUT DI STESEN PAPA TLDM

RAMPAS: Khairulanuar bersama pegawainya menunjukkan rampasan dadah semasa sidang media terbabit.

KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sabah dan Labuan merampas dadah bernilai RM1.9 juta yang ditemukan dalam sebuah bot persiaran tanpa nombor pendaftaran dan penumpang yang dihanyutkan hingga ke perairan Terumbu Peninjau atau Stesen PAPA Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada Isnin.

Pengarah Maritim Negeri Ibu Pejabat Maritim Malaysia Sabah dan Labuan Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali berkata, pihaknya menerima serahan bot berkenaan daripada TLDM kira-kira jam 8.20 pagi.

Katanya, berdasarkan hasil pemeriksaan awal oleh anggota TLDM, tiga bungkusan mencurigakan terbabit disimpan di bahagian bilge bot.

“Setibanya bot di Jeti Maritim Sepanggar, pemeriksaan lanjut bersama Pasukan Forensik dan Seksyen Siasatan Jenayah Maritim menemukan 39 bungkusan lagi yang disorok dalam tangki penyimpanan air.

“Secara keseluruhan, kita menemukan sebanyak 42 bungkusan disyaki dadah di dalam bot berkenaan,” katanya semasa sidang media di Ibu Pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Maritim Negeri Sabah dan Labuan di sini.

Beliau berkata, nilai rampasan dadah itu dianggarkan berjumlah RM1.9 juta, manakala jumlah keseluruhan termasuk bot dianggarkan mencecah RM2.5 juta.

KHAIRULANUAR

“Sampel dadah akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk pengesahan lanjut, sementara kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.

“Kita juga akan menjalankan siasatan lanjut untuk mengetahui bagaimana bot persiaran tanpa penumpang ini boleh hanyut sehingga ke kawasan Stesen PAPA TLDM.

“Setakat ini, belum ada sebarang tangkapan dibuat,” katanya.

Menurutnya, Maritim Malaysia akan terus memperkukuh kawalan perairan Sabah melalui kerjasama pelbagai agensi termasuk TLDM untuk mengekang cubaan penyeludupan dadah.

 

#MalaysiaMadani
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

 

Artikel/Berita Terkini

507 GERAN TANAH PANTAS DISERAH KEPADA PENDUDUK SEMBILAN KAMPUNG DI KADAMAIAN

GERAN: Ewon menyampaikan geran tanah PANTAS kepada wakil penduduk kampung. KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan …

MASIDI MAHU SEKTOR AGROMAKANAN TERUS JADI PEMACU EKONOMI SABAH

PERJUMPAAN: Masidi mengadakan perjumpaan khas di bilik mesyuarat MOF Sabah. KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, …

TPNS SALUR RM40 JUTA BANTU 27,781 PELAJAR SABAH

PRIHATIN: Hajiji menyampaikan Bantuan Pendidikan One-Off (Ijazah Sarjana Muda) kepada wakil penerima pada majlis itu. KOTA KINABALU: Tabung Pendidikan Negeri …