SUSPEK
LAHAD DATU: Taktik licik seorang wanita warga asing yang menawarkan jualan minyak masak bersubsidi dalam kuantiti besar pada harga menarik terbongkar apabila dia ditahan polis, semalam.
Suspek dipercayai menipu orang awam dengan mengambil bayaran penuh tetapi gagal menunaikan janji untuk membekalkan minyak masak seperti dijanjikan.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, tangkapan dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu selepas menerima laporan daripada mangsa yang tertipu dengan tawaran itu.
“Hasil siasatan awal mendapati suspek mengambil kesempatan dengan menjual minyak masak bersubsidi tanpa memiliki sebarang lesen runcit Barang Kawalan Berjadual daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, modus operandi suspek ialah menawarkan jualan minyak masak dalam jumlah besar kepada orang awam pada harga lebih rendah.
“Namun selepas menerima bayaran, suspek menghilangkan diri tanpa menghantar bekalan seperti dijanjikan.
“Lebih mengejutkan, wang hasil penipuan itu tidak digunakan untuk tujuan jual beli minyak masak, sebaliknya digunakan bagi melangsaikan hutang peribadi suspek,” katanya.
Dzulbaharin berkata, suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Beliau menegaskan pihak polis memandang serius kes penipuan yang membabitkan barangan kawalan kerana ia menyentuh keperluan asas rakyat dan melibatkan penyalahgunaan barang bersubsidi untuk tujuan peribadi.
“Orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dengan sebarang tawaran luar biasa, khususnya berkaitan barangan kawalan yang dijual tanpa lesen sah dan melalui dalam talian,” katanya.
#MalaysiaMadani
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah
Sumber: Utusan Borneo Online



