๐๐จ๐๐๐ ๐ง๐๐ฅ๐๐ก๐๐๐๐ก๐จ, ๐ฎ๐ณ ๐๐๐น๐ฎ๐ถ ๐ฎ๐ฌ๐ฎ๐ฑ – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Terengganu telah melaksanakan Operasi Bersepadu melibatkan Ops Belanja, Ops Sapu dan Ops Mahir pada 27 Julai 2025 bermula jam 9.30 pagi hingga 6 petang di sekitar Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Setiu. Operasi dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan JIM Terengganu dan melibatkan seramai 10 orang pegawai pelbagai pangkat.
Sebanyak tujuh buah premis diperiksa dalam operasi ini yang melibatkan lokasi seperti rumah kediaman, tapak pembinaan, kilang dan bengkel. Hasil pemeriksaan terhadap seramai 45 orang individu yang terdiri daripada warga tempatan dan warga asing, pihak JIM Terengganu telah menahan 7 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) yang terdiri daripada 6 lelaki dan 1 perempuan warganegara Myanmar, Indonesia dan Pakistan. Kesemua tangkapan berusia antara 18 hingga 49 tahun. Turut dikenalpasti ialah dua orang majikan yang disyaki menggajikan PATI dan akan disiasat mengikut peruntukan undang-undang.
Antara lokasi yang mencatatkan tangkapan termasuklah sebuah kedai perabot di Kampung Kubang Jela, Kuala Terengganu yang menempatkan seorang lelaki warga Pakistan ditahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963; sebuah tapak pembinaan di Kampung Kubu Sharif, Kuala Nerus yang melibatkan seorang lelaki warga Myanmar ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63; sebuah lagi tapak pembinaan di Mengabang Telipot, Kuala Nerus yang menyaksikan empat lelaki warga Indonesia ditahan di bawah Seksyen 15(1)(c); dan sebuah rumah kediaman berhampiran madrasah di Paya Sebokok, Kuala Nerus di mana seorang wanita warga Myanmar ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c).
Kesemua tahanan telah dibawa ke Depot Imigresen Ajil untuk tindakan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman denda, penjara, dan pengusiran dari negara ini.
Sepanjang operasi, dua notis hadir ke pejabat imigresen telah dikeluarkan kepada warga tempatan yang dipercayai majikan kepada PATI tersebut untuk membantu siasatan lanjut.
Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Terengganu akan terus komited menjalankan operasi secara berterusan bagi membanteras kebanjiran pendatang asing tanpa izin demi memelihara keselamatan dan kedaulatan negara.
Sumber: Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Terengganu



