DUA BOT PUKAT TUNDA DITAHAN LANGGAR SYARAT LESEN

TANGKAP: Antara kru dan tekong bot tunda yang ditahan selepas disyaki langgar syarat lesen.

KUDAT: Dua bot nelayan pukat tunda yang dikesan menjalankan aktiviti menangkap ikan kurang tiga batu nautika dari pantai ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), pada Sabtu.

Penahanan bot berkenaan dilakukan susulan maklumat diterima daripada Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Sabah kira-kira jam 6.30 petang dan 7 malam.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar, berkata aset Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan menerusi Op Sejahtera, Op Pluto Timur, Op Cegah PATI dan Op Tiris segera digerakkan ke lokasi.

Katanya, sebaik tiba di lokasi, dua bot berkenaan dikesan sedang menarik pukat pada jarak kurang tiga batu nautika dari pantai, iaitu kira-kira 2.6 batu nautika timur laut muara Marina di sini.

“Pemeriksaan lanjut ke atas salah sebuah bot mendapati enam kru berada di atasnya, termasuk tekong. Dua daripada mereka warga tempatan manakala empat lagi adalah warga Indonesia.

“Semua kru dan tekong memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Sementara itu, beliau berkata satu lagi bot ditahan di lokasi berasingan kira-kira 2.2 batu nautika timur perairan Tagumamal.

“Bot terbabit membawa sembilan kru, termasuk seorang warga Filipina yang didapati memiliki dokumen pengenalan diri yang meragukan.

“Secara keseluruhan, Maritim Malaysia merampas lebih 1.5 tan ikan pelbagai jenis serta dua tan ikan baja hasil daripada kedua-dua penahanan,” katanya.

Hasbullah berkata, semua kru, bot dan hasil tangkapan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kudat untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen penangkapan ikan dan Akta Imigresen 1959/63 kerana memiliki dokumen meragukan.

“Maritim Malaysia akan terus mempertingkatkan rondaan dan pemantauan di seluruh perairan negeri ini bagi membanteras aktiviti penangkapan ikan secara haram yang bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah menjejaskan sumber perikanan negara,” katanya.

 

#MalaysiaMadani
#taatsetia
#KeselamatanNegaraTanggungjawabBersama
#mknsabah

 

Sumber: Utusan Borneo Online

 

Artikel/Berita Terkini

PROGRAM SAMBUTAN SEMARAK RAMADAN 2026

DASAR KESELAMATAN NEGARA (DKN) 2021-2025 NILAI TERAS KESELAMATAN NEGARA 4: TADBIR URUS YANG BAIK (Integrasi Dasar & Operasi) PROGRAM SAMBUTAN …

PERANGKAP DALAM SKRIN

Ini senarai aplikasi yang perlu anda pantau dalam telefon anak-anak bawah umur. Pertama, OmeTV atau aplikasi Video Chat Rawak Ini …

MYGOV TAMBAH 30 PERKHIDMATAN BAHARU TAHUN INI

Kerajaan akan terus memperluas pengintegrasian perkhidmatan daripada aplikasi sedia ada seperti MySejahtera, MyJPJ, MyBorderPass dan MyDigital ID ke dalam aplikasi …